Tapak Guar Kepah merupakan tapak arkeologi yang pertama dijalankan ekskavasi di negara ini. Tapak ini dikaji dan direkodkan oleh ahli arkeologi British, George Windsor Earl yang telah menemui bukti prasejarah di Guar Kepah sekitar tahun 1840-an. Beliau telah menjalankan ekskavasi ke atas sebuah bukit kerang dan menemui bukti rangka manusia di dalam timbunan cengkerang, yang kemudiannya dihantar kepada F.W. Huxley untuk pemeriksaan lanjut dan Huxley menyatakan rangka manusia tersebut mewakili kumpulan Melanesia. Selain rangka manusia dan sisa makanan yang kebanyakannya kerang laut, dilaporkan juga penemuan alat batu jenis Sumatralit, tembikar dan sisa makanan yang lain seperti tulang rusa. Berdasarkan kehadiran artifak tembikar, secara jelas tapak Guar Kepah mewakili kebudayaan Neolitik dan usia tapak ini ialah sekitar 5000 hingga 6000 tahun dahulu.
