Language Selection   

EN
Icon 11 Icon 10 Icon 1 Icon 9 Icon 2 Icon 3 Icon 4 Icon 5 Icon 6 Icon 7 Gmail Icon

Pengenalan

 

Cawangan Seni Halus dan Kraf  

Seni halus ialah satu proses membina, membuat atau menghasilkan objek atau barangan melalui kreativiti dan kehalusan hasil kerja tangan yang sangat tinggi. Ada juga yang mengatakan ia sebagai satu proses penghasilan hasil seni di dalam bentuk lukisan, catan, cetakan dan arca. Seni halus telah mewarnai kehidupan seharian masyarakat Malaysia. Ia diwarisi melalui pembelajaran turun temurun dari generasi ke generasi yang kaya dengan warisan seni halus ini. Seni halus dibahagikan pada busana, tekstil dan seni hias diri. Manakala kraf pula satu kerja seni untuk menghasilkan sesuatu barangan. Ia meliputi anyaman, motif ukiran, sulaman, tekat, tenunan, seramik serta logam.

Antara seni yang begitu berkait rapat dengan masyarakat pelbagai kaum ini antaranya ialah seni ukiran pada rumah kediaman dan masjid, pembuatan tembikar atau seramik, pembuatan batik, anyaman tikar mengkuang, tenunan songket, tekatan perak dan emas, pua kumbu, kain destar dan kain tenun, manik, penghasilan tembaga, perhiasan diri dan berbagai-bagai seni halus yang lain. Motif penghasilan seni halus ini pula dipengaruhi oleh alam sekeliling seperti flora dan fauna, kaligrafi serta astronomi. Hasil seni halus ini juga memaparkan ketinggian serta kepandaian si penghasil  yang menghasilkan kerja tangan tradisional yang begitu halus dan bernilai tinggi. Setiap penghasilan kerja seni juga mempunyai falsafahnya yang tersendiri.

 
     
  
 

Senarai Manuskrip Warisan Kebangsaan

SENARAI MANUSKRIP WARISAN KEBANGSAAN

 

 

 

 

PERIBAHASA

PERIBAHASA adalah salah satu bentuk bahasa kiasan orang Melayu yang melambangkan kekayaan khazanah perbendahaaraan warisan budaya bangsa dan menjadi perlambangan ketinggian intelektualan dan adab bangsa Melayu dalam berkomunikasi. Melalui peribahasa, maksud atau kehendak berupa nasihat, pedoman, petua dan teguran disampaikan secara berhemah kepada seseorang. Pada kebiasaannya, perilaku dan sifat alam sekeliling, tumbuhtumbuhan dan binatang akan digubah dalam bentuk ungkapan yang indah supaya sedap didengar dan tidak menyinggung perasaan. Ia boleh membawa pengertian selapis ataupun dua lapis. Peribahasa meliputi Simpulan Bahasa, Perumpamaan, Bidalan, Pepatah dan Perbilangan.

 

HIKAYAT PELANDUK JENAKA

Hikayat Pelanduk Jenaka mengisahkan tentang seekor pelanduk mempunyai kuasa dan kekuatan serta kebijaksanaan yang dapat menyelesaikan permasalahan di antara haiwan sehingga dia dilantik menjadi ‘Syah Alam di Rimba’.

Sastera rakyat ini telah dikesan sejak turun-temurun manakala manuskrip terawal dikenal pasti pada 1645M yang tersimpan dalam koleksi Perpustakaan Perancis. Hikayat ini pernah dilaporkan oleh G.H. Werndly dalam daftar berjudul Maleische Sparaakkunst yang ditulis di Tanah Melayu dan diterbitkan pada 1736.

Sarjana H.C Klinkert pada tahun 1885 menerbitkan 10 cerita bersiri mengenai pelanduk jenaka antaranya ialah Pelanduk Mendamaikan Harimau Dengan Kambing, Pelanduk Membunuh Raksasa, Beruang Tertakluk dan Kera Tidak Mahu Tunduk.

Manuskrip Melayu

Manuskrip Melayu didefinisikan sebagai hasil sastera Melayu tradisional yang menggunakan tulisan tangan dalam tulisan Jawi atau Rumi dan menggunakan bahan seperti kertas, kulit, daun lontar, buluh, gading, kayu dan kain yang isi kandungan dan jangka waktu yang tidak terbatas. Penghasilan manuskripbermula dengan pesatnya selepas kedatangan Islam, iaitu selepas masyarakat Melayu menerima tulisan Jawi sebagai tulisannya. Dengan demikian, zaman perkembangan manuskripMelayu ialah selepas kedatangan Islam hingga ke akhir abad ke-19.

Menyedari tentang ketinggian nilai ilmu dan keunikan yang terkandung dalam khazanah warisan bangsa ini, Jabatan Warisan mengambil inisiatif untuk menyelongkar ilmu mengenai manuskrip Melayu ini meliputi kajian jenis kertas, bentuk tera air, kolofon, iluminasi, ragam hias, kaligrafi dan sebagainya. Program yang berlangsung pada 9 Mac 2013 di Bangunan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur telah mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 100 orang perserta.

 

Pn. Nasimah Bt Badarudin, Penolong Pengarah Bahagian Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia sedang membentangkan kertas kerjanya.

 

Sesi interaksi bersama Pn. Effah Imtiaz bt Zainol, Pegawai Perpustakaan Negara Malaysia yang membentangkan kertas kerja kedua.

Reaksi sebahagian daripada peserta yang menghadiri sesi Bicara Warisan Manuskrip Melayu yang begitu teruja dengan sesi perbincangan mengenai keunikan dan keindahan manuskrip Melayu

Tradisi Lisan

Program Penghayatan Cerita Rakyat dianjurkan oleh JWN untuk melaksanakan kerja-kerja pengembangan Warisan Tak Ketara dengan menyatukan beberapa penggiat cerita tradisi lisan dari seluruh Semenanjung Malaysia yang kini semakin sukar ditemui. Pada 31 Oktober 2012 Jabatan Warisan Negara, mengundang tokoh yang terdiri daripada Y.Bhg. Dato’ Dr. Rosli bin Haji Saluddin (Tukang Teromba), Tn. Haji Ali Badron bin Haji Sabor (Penglipurlara), En. Ramli Mahmud        (Awang Batil) dan En. Ibrahim Kadir (Tok Selampit). Mereka telah mempersembahkan cerita lisan dari negeri masing-masing dengan mengggunakan dialek mengikut negeri yang diwakilinya iaitu Negeri Sembilan, Johor, Perlis dan Kelantan.

Melalui program ini, ia telah menghidupkan semula tradisi lisan yang telah semakin hilang dan dapat memberikan pendedahan dan pengetahuan yang baru mengenai kaedah penyampaian tradisi lisan yang berbeza mengikut kawasan di Semenanjung Malaysia. Ia juga merupakan suatu penghormatan kepada penggiat seni tradisi lisan kerana Jabatan Warisan telah memberi ruang untuk mereka kembali mempersembahkan cerita rayat yang semakin dilupakan yang sekaligus mendidik generasi muda tentang peranan penglipur lara dalam masyarakat suatu ketika dahulu.

 

Persembahan Awang Batil dengan pelbagai aksi dan peralatan muzik tradisionalnya

Persembahan oleh Tok Selampit menggunakan loghat pantai timur

 

Pak Ali Badron, penglipur lara dari Johor

Persembahan Tukang Teromba disajikan dengan adunan tradisi dan moden untuk menarik minat generasi baru

Keghairahan generasi muda terhadap warisan masih mempunyai tempat di hati mereka

PERUBATAN TRADISIONAL

PERUBATAN TRADISIONAL
 
Perubatan tradisional merupakan kaedah perubatan yang telah memberi sumbangan penting dalam penjagaan kesihatan manusia sebelum munculnya perubatan moden.  Perubatan tradisional yang asli adalah tanpa menggunakan bahan-bahan kimia seperti perubatan moden. Kepelbagaian alam semulajadi telah dijadikan salah satu sumber utama dalam kaedah perubatan tradisional.Perubatan ini banyak menggunakan tumbuh-tumbuhan dan herba.
 
Kegunaan tumbuhan dan herba telah lama menjadi amalan dalam setiap bangsa yang terdiri daripada berbagai kelompok kaum sama ada masyarakat Melayu, Cina, India atau Orang Asli. Penggunaan perubatan tradisional juga telah terbukti secara saintifik dan kaedah alternatif ini mempunyai banyak manfaat tersendiri. Seiring dengan perkembangan perubatan moden, perubatan tradisional kini disyorkan sebagai salah satu rawatan alternatif/rawatan pelengkap untuk melegakan penderitaan dan meningkatkan keberkesanan perubatan moden.
 
Sehingga tahun 2018, perubatan tradisional yang telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan setakat ini adalah seperti berikut:-
 

BIL

BUTIRAN

TAHUN ISYTIHAR

1.     

Bekam

2012

2.     

Bidan Kampung

2012

3.

Bomoh Patah

2012

4.

Main Peteri

2012

5.

Ulik Mayang

2012

6.

Urut Tradisional

2012

  
  1. Main Peteri
  
Main Peteri atau Main Teri merupakan persembahan perubatan tradisi yang popular di negeri Kelantan untuk mengubati penyakit yang berkaitan dengan gangguan makhluk halus, hilang semangat, masalah keseimbangan tenaga dalaman dan juga berkaitan gangguan angin ‘keinginan‘ dan kehendak.  Antara watak utama dalam Main Peteri ialah Tok Peteri dan Tok Minduk dan merupakan perantara yang menghubungkan manusia dengan makhluk ghaib. Sesi perubatan ini diiringi dengan iringan muzik seperti rebab, serunai, gong, gendang, geduk, canang, dan juga kesi. Uniknya persembahan ini menyelitkan elemen-elemen persembahan seperti doa, tarian, nyanyian, lakonan dan jampi mantera.
 
  1. Ulik Mayang
 
 
Ulil Mayang adalah amalan perubatan di negeri Terengganu dan merupakan suatu proses penyembuhan ke atas pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus  sama ada  daripada laut ataupun darat. Upacara ini melibatkan seorang bomoh yang bertindak sebagai  pengawal dan medium perhubungan  antara makhluk halus dan manusia dalam mengubati pesakit. Bahan  penting yang harus disediakan adalah mayang pinang yang lebat bunganya di samping kemenyan untuk mengasap mayang tersebut setelah disapukan dengan minyak kelapa. Upacara  ini dilakukan di kawasan pesisiran pantai pada waktu malam.  Bomoh tidak akan mengubati pesakit pada malam Jumaat kerana ia adalah salah satu pantang larang yang mesti diikuti.
 
 
  1. Bekam
 
 
Bekam dalam istilah Melayu membawa maksud mengeluarkan angin dalam badan atau pelepasan darah kotor daripada badan.  Dalam bahasa Arab pula, ia dikenali sebagai al-Hijamah iaitu kaedah pembersihan darah atau angin dengan mengeluarkan sisa toksik dalam badan melalui kulit secara sedutan. Dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai cupping, orang Cina mengenalnya sebagai gua-sha.
Bekam merupakan perubatan alternatif yang dapat memberikan keseimbangan tubuh badan. Terdapat beberapa jenis bekam yang diamalkan di dunia seperti bekam kering (angin), bekam basah (darah), bekam magnet, bekam elektronik dan bekam akupuntur.
 
  1. Bomoh Patah
 
Bomoh merujuk kepada ahli perubatan tradisional dalam masyarakat Melayu dahulu kala. Ahli perubatan tradisional dalam masyarakat Melayu turut dikenali sebagai dukun, atau pawang. Patah tulang sering dirujuk kepada bomoh tulang. Masyarakat Melayu lebih yakin dengan keupayaan kaedah tradisional berbanding moden dalam memulihkan patah tulang. Selain dikenali sebagai bomoh tulang mereka juga dikenali sebagai bomoh patah. Kaedah yang digunakan ialah urutan ke atas bahagian yang sakit dengan disertai bacaan tertentu yang sering diambil daripada al-Quran.
 
  1. Urut Tradisional
 
 
Urut  adalah rawatan secara tradisional dalam masyarakat Timur. Urut sudah diketahui sejak berzaman sebagai satu alternatif dalam dunia perubatan. Bagaimanapun, urut sepatutnya dilakukan oleh mereka yang mahir dan profesional kerana ia juga boleh memudaratkan jika tidak mengikut prosedur sepatutnya. Urut tradisional Melayu menggunakan pendekatan mengurut seluruh anggota badan dan melalui tiga teknik iaitu semasa meniarap, terlentang dan duduk bersila. Ketiga-tiga cara ini memberikan kelegaan dan ketenangan kepada pesakit sehingga menyembuh dan memulihkan kembali perjalanan darah dalam tubuh.
 
 
  1. Bidan Kampung
 
 
Dalam masyarakat kampung tradisional, bidan ialah wanita yang berpengalaman dalam hal ehwal menguruskan wanita mengandung dan bersalin. Mereka mengetahui tentang perubatan tradisional yang banyak menggunakan tumbuhan herba. Dalam zaman moden ini, bidan telah diserap dalam perkhidmatan kesihatan moden dan dilantik dalam jawatan yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan setelah mendapat latihan perbidanan di sekolah jururawat  dan dikenali sebagai bidan kerajaan. Bidan yang tidak dilantik kerajaan pula, biasanya dikenali sebagai bidan kampung. Bidan adalah orang penting untuk upacara atau masalah yang berkait dengan wanita mengandung, kelahiran, bayi, melenggang perut, naik buaian/ endoi, cukur jambul, sunat untuk bayi perempuan menguruskan hal bayi songsang, tumpah darah, keguguran, mandul serta urut sebelum dan selepas bersalin.

JABATAN WARISAN NEGARA
Aras Mezanin, 15-20,
Menara Permodalan Nasional Berhad (PNB),
No. 201-A, Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Pilihan Bahasa :
Melayu | English

Peta Laman