Pilihan Bahasa   

MY
                              

Gedung Raja Abdullah, Kelang, Selangor

Keadaan Gedung Raja Abdullah sebelum dibaikpulih Bangunan Gedung Raja Abdullah menerapkan ciri-ciri Anglo-Indian Selepas Kerja Konservasi

Bangunan ini dibina pada 1856 di Pekan Klang sebagai tempat penyimpanan bijih timah dan bahagian atasnya sebagai tempat kediaman. Pada 1853, Raja Abdullah bin Raja Jaafar iaitu adinda kepada Raja Jumaat, Lukut telah dikurniakan pangkat “Orang Besar Klang” oleh Baginda Sultan Muhammad Shah dan dengan itu beliau berjaya membuka beberapa buah lombong bijih timah di Ulu Sungai Klang, sekarang dikenali sebagai Kuala Lumpur. Raja Abdullah merupakan wakil Sultan yang diperintahkan mengutip hasil dan memperdagangkan bijih timah yang dihasilkan di Lembah Klang.

Semasa berlaku Perang Saudara di Selangor pada tahun 1866 di kawasan ini, gudang ini telah dijadikan sebagai kubu pertahanan pengikut Raja Mahadi yang berkubu di Kota Raja Mahadi tidak jauh dari kawasan ini (di perkarangan Pejabat Majlis Perbandaran Kelang sekarang). Residen Inggeris Pertama J.G Davidson menjadikan Gedung ini sebagai Pusat Pentadbiran Daerah yang kemudiannya dijadikan Balai Polis Daerah hingga tahun 1970. Ia dijadikan Muzium Timah oleh Lembaga Muzium Negeri Selangor. Kerja-kerja konservasi oleh Jabatan Warisan Negara yang bermula pada bulan Disember 2008 akhirnya siap sepenuhnya pada Julai 2009. Apa yang menarik mengenai bangunan ini ialah ia bercirikan seni bina Anglo-Indian abad ke-19 dengan gabungan seni bina tempatan. Bangunan kayu bertiang konkrit ini dibina secara memanjang dan tinggi dengan tingkat bawah berlantaikan simen manakala tingkat atas berlantai kayu. Sesuai dengan fungsinya sebagai gedung simpanan bijih timah, bangunan ini dibina mudah tanpa elemen-elemen hiasan seperti rumah-rumah tradisi lain. Terdapat beberapa ruang berbilik di tingkat bawah namun tingkat atasnya dewan besar dibiarkan terbuka dengan serambi di sekeliling.

Kerosakan utama bangunan ini adalah pada lepaan dinding di tingkat bawah yang telah poros disebabkan faktor kelembapan (bangunan ini terletak di tapak yang paling rendah berbanding bangunan-bangunan baru di sekeliling yang dibina kemudian). Sebahagian dinding juga telah retak dipercayai disebabkan oleh gegaran kenderaan di jalan bersebelahan. Kerja-kerja konservasi yang utama selain melibatkan penggantian struktur kayu dan lepaan dinding yang rosak termasuk penggantian lantai konkrit kepada lantai kayu di tingkat atas bagi mengembalikan keaslian bangunan.

 

     
Keadaan lepaan pada tiang dan dinding di tingkat bawah dan atas yang mengalami keporosan. Hampir kesemua dinding mengalami masalah yang sama.
     
Keadaan tiang yang telah dibaiki Lantai tingkat atas yang telah baiki dan ditukar dengan lantai kayu. Dinding dalamnya juga telah dibaiki dan di cat semula Keadaan dinding tingkat atas bahagian luar yang telah siap dibaiki

 

JABATAN WARISAN NEGARA
Blok A dan B, Bangunan Sultan Abdul Samad,
Jalan Raja 50050 Kuala Lumpur

No. Tel : 03 - 2612 7200
No. Faks : 03 - 2604 4900
Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Follow us on Social Media

Ikuti Kami di Sosial Media

Income Tax Planning

    View Service