Bagaimana Pengisytiharan Warisan Kebangsaan dilakukan?
Mengapa pentingnya sesuatu khazanah warisan itu perlu didaftarkan?
Pendaftaran status Warisan atau lebih-lebih lagi Warisan Kebangsaan akan meninggikan lagi nilai sesuatu khazanah warisan itu. Ia akan dilindungi sepenuhnya dan dipelihara keaslian dan mutunya sentiasa oleh pakar-pakar yang berkaitan. Setiap khazanah warisan yang telah diwartakan sebagai Warisan atau diisytiharkan segabai Warisan Kebangsaan tidak akan melupuskan hak pemilikan tuan punya (termasuk hak Harta Intelek Pemunya). Ini termasuk hak pemunya untuk menjual atau memindahkan harta warisan berkenaan. Namun begitu setiap pindah milik atau pergerakan kekal harta warisan tersebut perlu dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Warisan bagi tujuan perlindungan kepada khazanah warisan negara kita.
Apakah maksud Daftar Warisan Kebangsaan?
DAFTAR WARISAN KEBANGSAAN
Daftar Warisan Kebangsaan merupakan sebuah buku Daftar yang diwujudkan berdasarkan peruntukan seksyen 23, Akta Warisan Kebangsaan 2005 seperti berikut:
Seksyen 23
(1) Pesuruhjaya hendaklah mewujudkan dan menyenggarakan suatu daftar yang dikenali sebagai Daftar Warisan Kebangsaan sebagaimana yang ditetapkan yang mengandungi senarai butiran warisan yang didaftarkan di bawah Akta ini.
(2) Pesuruhjaya hendaklah menjadikan Daftar tersedia untuk pemeriksaan awam tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang difikirkannya patut.
(3) Mana-mana orang boleh apabila dibayar fi yang ditetapkan oleh Menteri-
(a) memeriksa Daftar; dan
(b) membuat salinan, atau mengambil cabutan daripada Daftar.
Apakah itu Akta Warisan Kebangsaan?
Suatu Akta yang memberi peruntukan bagi pemeliharaan Warisan Kebangsaan, Warisan Kebudayaan Ketara (Tangible Cultural Heritage), Warisan Kebudayaan Tak Ketara (Intangible Cultural Heritage) dan warisan semulajadi. Ia juga memberikan dasar kaedah dan peraturan berkaitan perlindungan dan pengurusan khazanah warisan serta mewujudkan Daftar Warisan Kebangsaan. Akta Warisan Kebangsaan ditadbir dan dijalankan kuasa oleh seorang Pesuruhjaya Warisan yang dilantik oleh menteri. Majlis Warisan Kebangsaan menasihati menteri dan Pesuruhjaya Warisan dalam hal ehwal berkaitan warisan.
Apakah skop-skop di dalam warisan?
Berdasarkan kepada Akta Warisan Kebangsaan 2005, pembahagian skop warisan adalah seperti berikut :
Tapak Warisan
Iaitu kawasan atau zon warisan kebudayaan seperti tapak arkeologi, bandar, kampung dan lain-lain termasuk momumen, bangunan, dan tapak alam semulajadi seperti hutan, tasik dan lain-lain termasuk flora dan fauna.
Objek Warisan
Iaitu meliputi benda-benda purba mudah alih, artifak, warisan kebudayaan ketara dan warisan kebudayaan tak ketara yang telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Harta karun (harta yang sengaja disorokkan) tidak termasuk di bawah kategori ini.
Warisan Kebudayaan Bawah Air
Iaitu sesuatu warisan yang berada di bawah permukaan laut yang mempunyai hasil atau kesan campurtangan manusia yang meliputi tapak, struktur, bangunan, artifak, pesawat udara, kapal, kargo, objek prasejarah serta gabungan kesan arkeologi dan alam semulajadi yang telah diwartakan di bawah Seksyen 63, Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Warisan Orang Hidup
Iaitu mana-mana tokoh yang masih hidup yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang berkaitan warisan serta telah diisytiharkan sebagai Warisan Orang Hidup di bawah Seksyen 67, Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Apakah definisi warisan?
Warisan adalah sesuatu yang diwarisi dari generasi yang terdahulu. Ia merupakan khazanah negara yang pernah atau sedang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu kelompok masyarakat atau manusia sejagat yang menjadi tanggungjawab bersama untuk dilindungi dan dikekalkan.Warisan kita adalah ilmu, pengetahuan dan kepakaran yang diwariskan kepada kita memalui cara hidup, kepercayaan yang dijelmakan melalui objek budaya. Ia menggambarkan memori keseluruhan hidup masyarakat serta melambangkan ketamadunan sesuatu masyarakat itu.
JABATAN WARISAN NEGARA
Aras Mezanin, 15-20,
Menara Permodalan Nasional Berhad (PNB),
No. 201-A, Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Emel : info@heritage.gov.my