Pengenalan
Bahagian Arkeologi berperanan memastikan warisan arkeologi negara dilindungi, dipelihara dan diurus secara sistematik melalui pelaksanaan penyelidikan saintifik, kerja pemuliharaan serta pemeliharaan berterusan selaras dengan peruntukan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645). Bahagian ini bertanggungjawab mengenal pasti, mendokumentasi dan menilai kepentingan tapak serta tinggalan arkeologi bagi menjamin kelestariannya untuk generasi masa hadapan.
Selain itu, Bahagian Arkeologi turut memainkan peranan dalam membangunkan tapak arkeologi sebagai pusat rujukan penyelidikan, pendidikan dan pelancongan warisan. Pembangunan ini dilaksanakan secara mampan dengan mengambil kira aspek perlindungan warisan, kepentingan komuniti setempat serta pemerkasaan nilai sejarah dan budaya negara, sejajar dengan dasar pemeliharaan warisan kebangsaan.
Bahagian Arkeologi terdiri daripada tiga cawangan utama yang saling melengkapi. Cawangan Arkeologi Daratan bertanggungjawab melaksanakan penyelidikan, ekskavasi dan dokumentasi tapak arkeologi di daratan yang merangkumi tempoh prasejarah, proto-sejarah dan sejarah. Cawangan ini juga menjalankan penilaian impak pembangunan, pemantauan tapak serta mencadangkan langkah perlindungan dan pemuliharaan bagi memastikan tapak arkeologi tidak terjejas akibat aktiviti pembangunan fizikal.
Sementara itu, Cawangan Arkeologi Bawah Air bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja penyelidikan melalui aktiviti survei dan salvaj warisan kebudayaan bawah air. Cawangan ini turut berperanan memelihara dan memulihara khazanah warisan kebudayaan bawah air melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti termasuk mencari, mengumpul, menilai dan merekod tapak serta jumpaan kapal karam secara sistematik, tepat dan bersepadu bagi tujuan rujukan, dokumentasi dan penyelidikan.
Manakala Cawangan Repositori dan Pengembangan bertanggungjawab mengurus pendaftaran, penyimpanan, pemuliharaan dan dokumentasi artifak serta bahan arkeologi yang diperoleh daripada kerja penyelidikan dan ekskavasi. Cawangan ini juga berperanan dalam pengembangan dan perkongsian ilmu melalui pameran, penerbitan, program pendidikan, latihan kepakaran serta aktiviti kesedaran awam bagi meningkatkan pemahaman dan penghargaan masyarakat terhadap kepentingan warisan arkeologi negara.