Language Selection   

EN
Icon 11 Icon 10 Icon 1 Icon 9 Icon 2 Icon 3 Icon 4 Icon 5 Icon 6 Icon 7 Gmail Icon

Di Manakah Logam Tertua di Malaysia

Gangsa muncul sekitar 3,500-4,000 tahun dahulu dan diikuti oleh artifak besi sekitar 2,000 tahun-2,500 tahun dahulu. Suhu yang tinggi diperlukan bagi menghasilkan barang-barang daripada gangsa iaitu melebihi 1,300 darjah Celsius!.

Artifak gangsa umumnya diperbuat dengan mengggabungkan tiga jenis logam iaitu kuprum, timah dan plumbum. Bukti arkeologi pertama tentang gangsa di Malaysia diperolehi pada satu ekskavasi pada tahun 1988 iaitu satu kapak gangsa serta acuan tembikar yang digunakan untuk menghasilkannya dijumpai pada satu pengebumian yang dipertarikhkan sekitar 3,500-4,000 tahun dahulu di dalam Gua Harimau di Lembah Lenggong, Perak. Ini menunjukkan kemungkinan adanya industri gangsa asli di Malaysia dan tidak terhad di negara Thai sahaja seperti yang dianggap sebelum ini.
 

Gua Harimau Bekas tembikar ini dari ekskavasi tapak pengebumian Gua Harimau yang berusia sekitar 4,000 tahun dahulu. Sisa makanan seperti cengkerang didapati berasosiasi dengan bekas tembikar ini
 
Satu acuan kapak gangsa di Malaysia berserta mata kapak merupakan logam tertua di Malaysia yang dijumpai di Gua Harimau, Lenggong

Tapak Arkeologi Gua Gunung Runtuh & Penemuan Manusia Perak (11,000 Tahun)

Manusia Perak

Antara 10,000 tahun hingga 11,000 tahun dahulu, seorang yang penting telah dikebumikan di dalam Gua Gunung Runtuh. Dengan dikenali Manusia Perak, beliau merupakan satu-satunya manusia prasejarah yang diketahui mempunyai kecacatan sejak lahir. Beliau dikebumikan dengan cermat dalam posisi fetus diiringi alat batu, cengkerang, daging babi hutan, monyet, biawak, kura-kura, rusa, harimau bintang dan ungka.
 

Kedudukan Gua Gunung Runtuh, Ulu Jepai, Lenggong, Perak Rangka in situ Manusia Perak dalam posisi fetus berusia lebih kurang 11,000 tahun dahulu di Gua Gunung Runtuh
 
Tangan kanan Manusia Perak menggenggam makanan, hanya tulang yang tinggal.

Kota Tampan (74,000 Tahun)

Tapak ini telah berjaya menyumbang kepada pengetahuan tentang masyarakat Paleolitik dari segi (a) paleoalam, (b) klasifikasi alat batu Paleolitik, (c) teknologi pembuatan. Hasil penyelidikan menunjukkan masyarakatnya beradaptasi dengan tasik dan merupakan bengkel pembuatan alat batu Paleolitik Alat penetak yang dijumpai di Kota Tampan
 
Sebuah alat batu kuarzit terepih yang dijumpai di Kota Tampan

Bukit Jawa (200,000 Tahun)

Bukit Jawa merupakan petempatan terawal di Malaysia selepas Bukit Bunuh. Ahli arkeologi berpendapat bahawa penduduknya mengamalkan teknologi litik iaitu kaedah cuba-cuba yang agak kurang matang kerana mereka telah membuang sejumlah besar bahan mentah setelah mengetahui jenis batu itu tidak boleh menghasilkan alat batu yang diingini.
 

Tapak Arkeologi Bukit Jawa, Lenggong Alat batu yang dibuat dengan kaedah cuba-cuba yang telah diekskavasi dari tapak Paleolitik Bukit Jawa
 

Bukit Bunuh (1.83 Juta Tahun)

Menurut kajian terkini yang telah dilakukan, Lembah Lenggong, Hulu Perak merupakan petempatan terawal di Malaysia iaitu lebih kurang 1.83 juta tahun dahulu. Kajian geologi Bukit Bunuh, Lenggong menunjukkan kawasan ini pernah ditimpa bencana meteorit pada 1.83 juta tahun dahulu. Bukti meteorit ini boleh dilihat daripada kesan hentaman yang ditinggalkan seperti batuan asal terlebur dan menjadi batuan impak yang dikenali sebagai suevite. Di dalam suevite ditemui banyak alat batu, antaranya kapak genggam. Ini menunjukkan bahawa telah ada kebudayaan Paleolitik yang berlangsung di Bukit Bunuh sebelum impak meteorit, 1.83 juta tahun dahulu. Daripada rekod pentarikhan ini, didapati bahawa Lembah Lenggong yang terletak di kawasan ini merupakan pusat petempatan terawal manakala di bahagian lain di Malaysia tidak dihuni sehingga ke masa yang lebih lewat. Manusia awal dijangka mendiami petempatan-petempatan ini selama beberapa ribu tahun dan mungkin kemudian wujud petempatan yang tersebar di kawasan lain.
 

Bukit Bunuh (1.83 Juta Tahun) Bukit Bunuh, Lenggong. Bukti kajian geologi menunjukkan kawasan ini pernah ditimpa bencana meteorit 1.83 juta tahun dahulu
 
Alat batu Suevite yang ditemui di Bukit Bunuh terhasil akibat impak meteorit

JABATAN WARISAN NEGARA
Aras Mezanin, 15-20,
Menara Permodalan Nasional Berhad (PNB),
No. 201-A, Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur,
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Pilihan Bahasa :
Melayu | English

Peta Laman