Pilihan Bahasa   

MY
                              

Wayang Kulit Kelantan

Image

KATEGORI : OBJEK WARISAN

JENIS : WARISAN TIDAK KETARA

OBJEK WARISAN : WAYANG KULIT KELANTAN

TAHUN WARTA : 2009

NO WARTA : P.U (A) 85 [WAYANG KULIT]

LATAR BELAKANG :

Wayang Kulit Kelantan adalah satu persembahan menggunakan konsep cahaya dan bayang. Cahaya akan dipancarkan di belakang kelir dan patung-patung wayang yang diperbuat daripada kulit haiwan akan digerak-gerakkan di antara kelir dan cahaya. Patung-patung digerakkan oleh seorang Dalang mengikut cerita yang dibawa berserta iringan muzik.

Himpunan cerita dalam persembahan Wayang Kulit Kelantan sebahagian besarnya berdasarkan versi lisan dan sastera Melayu epik India Kuno iaitu ‘Ramayana’ yang menceritakan penggembaraan Seri Rama, isterinya Siti Dewi dan Maharaja Rawana.

Wayang Kulit Kelantan akan diterajui oleh seorang tukang cerita yang dipanggil dalang. Dalang yang merupakan pemimpin kumpulan bertindak sebagai pemain segala peranan dalam persembahan wayang kulit, antaranya sebagai penulis cerita, pengarah lakonan, pengatur pentas, penyusun iringan, pengisah, pemain watak, dan juga "penyanyi".

Dengan kata lain, dalang adalah seseorang yang mempunyai kemahiran pelbagai ilmu dan disiplin. Terdapat dua jenis dalang iaitu dalang muda dan dalang tua. Dalang muda berperanan memulakan persembahan iaitu sewaktu bermulanya lagu bertabuh, manakala persembahan isi cerita akan diambil alih oleh dalang tua sehinggalah tamat persembahan.

Alat-alat muzik yang digunakan dalam persembahan Wayang Kulit Kelantan terdiri daripada gendang, serunai, gedombak, geduk, gong, kesi dan canang. Wayang Kulit Kelantan terkenal di kawasan luar bandar di mana ia dipersembahkan semasa resepsi perkahwinan, berkhatan, pesta menuai dan di acara keramaian.

Kini persembahan Wayang Kulit Kelantan turut dipentaskan di tempat-tempat berprestij seperti Teater Kebangsaan, Dewan konvensyen, dan ruang rekreasi awam.

TEORI ASAL USUL WAYANG KULIT KELANTAN

Terdapat banyak teori dikaitkan dengan asal usul Wayang Kulit Kelantan seperti betikut :
Dipercayai dicipta oleh Jawan atau Raja Aftabul-Ard (cucu Nabi Nuh) untuk memberikan kafahaman tentang “ilmu ketuhanan” kepada pengikutnya.

USAHA-USAHA PEMELIHARAAN DAN PEMULIHARAAN WAYANG KULIT

  1. Jabatan Warisan Negara menganjurkan persembahan Wayang Kulit Sunan di Program Jejak Warisan pada tahun 2008.

  2. Jabatan Warisan Negara telah mengisytiharkan Wayang Kulit Kelantan sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2009.

  3. Jabatan Warisan Negara menganjurkan Bengkel Wayang Kulit secara bersiri di Kelab Sultan Sulaiman yang telah memberi pendedahan kepada orang awam dan generasi muda berkenaan Seni Persembahan Wayang Kulit pada tahun 2009. Antara pengisian Bengkel adalah mengenali watakwatak dalam wayang kulit, mereka patung wayang kulit, mempelajari muzik dalam wayang kulit dan sebagainya.

  4. Jabatan Warisan Negara menganjurkan Bengkel Wayang Kulit oleh Kumpulan Cindayu bertempat di Kelab Sultan Sulaiman (5-26 Jun 2010).

  5. Jabatan Warisan Negara telah mengangkat tokoh yang banyak menyumbang jasa dan bergiat aktif dalam persembahan Wayang Kulit pada tahun 2012 iaitu Pak Cu Eyo Hock Seng sebagai Warisan Kebangsaan Orang Hidup.  Jabatan Warisan Negara telah membawa Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup serta Kumpulan Sri Campuran mengadakan persembahan Wayang Kulit di Paris sempena Pameran Warisan Malaysia UNESCO – telah dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’Sri Utama Dr Rais Yatim pada 12-13 Februari 2012.

  6. Demonstrasi Pembuatan patung Wayang Kulit di Matic sempena Pameran Hari Memperingati Seniman pada 2014.

  7. Jabatan Warisan telah membawa Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup serta Kumpulan Sri Campuran mengadakan persembahan Wayang Kulit di Place Du Palais Royal Paris sempena Intanbgible Cultural Heritage (ICH) Malaysia yang telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Dato’Haji Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin pada 12-17 April 2015.

  8. Penyaluran peruntukan pembinaan dewan persembahan Wayang Kulit Kelantan yang kemudiannya diberi nama sebagai Bangsal Semar di Kampung Pasir Parit, Chekok, Pasir Mas, Kelantan (RM120,000.00). Di sinilah kumpulan ini mengadakan latihan, persembahan, bengkel mengajar pelajar sekolah dalam bidang wayang kulit.

  9. Jabatan Warisan Negara telah melaksanakan Dokumentasi Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) : Encik Eyo Hock Seng pada tahun 2020.

  10. Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah mewujudkan modul atau program akademik yang di dalamnya termasuklah wayang kulit. Wayang kulit dijadikan program wajib akademik bagi membolehkan seseorang pelajar itu dianugerahkan sijil, diploma atau ijazah. Pemilihannya sebagai program wajib adalah sangat tepat kerana di dalam persembahan wayang kulit itu sendiri terkandung semua cabang seni yang lain seperti teater (lakonan babak), tarian (pergerakkan lemah gemalai watak Siti Dewi, Seri Rama Raden Lakjuna dan sebagainya), muzik (gendang, gong, canang, kerincing, serunai), skrip atau penulisan (jalan cerita), seni halus (ukiran patung wayang kulit) dan sebagainya.

  11. Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) telah mengadakan Bengkel Perantisan Wayang Kulit yang beoperasi sejak tahun 2007. Di sinilah diajar teknik permainan wayang kulit yang merangkumi pengajaran muzik wayang kulit Melayu yang bermula dengan asas, pertengahan dan penuh serta aspek pedalangan. Objektif program perantisan ini adalah untuk menanam minat dan memupuk kemahiran di kalangan generasi muda yang merupakan pewaris terhadap kesenian ini, di samping menyemarak dan menyebarluaskan seni wayang kulit di kalangan masyarakat era globalisasi ini.

  12. Program pemuliharaan bidang keseniaan yang hampir pupus. Misalnya pada tahun 2005 (Mac – Ogos), program pemuliharaan wayang kulit tertumpu di Kampung Tebu, Tunjung, Kota Bharu, Kelantan dan pada tahun 2006 (April – November), ia beralih pula ke Kampung Kemasin, Bachok, Kelantan. Tujuan program ini adalah untuk memulihara cabang seni yang hampir pupus di Kelantan, termasuklah wayang kulit Melayu.

  13. Menubuhkan studio pengembangan kesenian negeri kelantan termasuklah wayang kulit. Contoh: di Batu Jong, Kuala Krai di kediaman Pok Lah. Pok Lah seorang dalang telah melatih anak-anak muda. Di samping itu, pihak JKKN juga memberi bantuan dari segi elaun dan peralatan kelengkapan alat muzik dan sistem audio.

  14. Mewujudkan Program Bimbingan dan Seni Budaya (PBSB) di sekolahsekolah seluruh negeri. Ia merupakan program penjenamaan semula bagi aktiviti-aktiviti seni budaya yang melibatkan para pelajar di sekolah rendah dan menengah melalui kerjasama di antara Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri dengan Jabatan Pelajaran Negeri. Slogan untuk PBSB ini adalah ”SATU SEKOLAH, SATU PRODUK KESENIAN”. Ia dibahagikan kepada tiga aktiviti seni budaya mengikut bidang dan peringkat umur iaitu:

Kelab Tunas Budaya (Sekolah rendah berumur di antara 9 – 11 tahun) yang merangkumi pembelajaran seni tari, teater dan muzik. Dalam seni teater dan muzik inilah diselitkan dengan pembelajaran wayang kulit.

Kelab Giat Budaya (Sekolah Menengah berumur di antara 13 – 16 tahun) yang juga merangkumi pembelajaran seni tari, teater dan muzik.

Kelab Kesenian Sekolah (Sekolah Rendah & Menengah) yang hanya melibatkan pembelajaran seni tarian.

PBSM mestilah menggunakan modul pembelajaran yang ditetapkan oleh JKKN dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia, Istana Budaya dan Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA). Setiap jurulatih yang dilantik oleh Ketua Pengarah JKKN hendaklah melatih pelajar-pelajar mengikut sukatan kokurikulum yang ditetapkan tersebut. Program ini berlangsung selama enam bulan setiap tahun iaitu bermula pada bulan April hingga September. Pemilihan pelajar untuk mengikuti program ini adalah berdasarkan budi bicara guru di sekolah masingmasing. Setiap pelajar yang menamatkan PBSM layak menerima sijil penyertaan.

Mewujudkan skim bantuan kebudayaan dengan mengenalpasti dalang yang berkemampuan untuk menjadi jurulatih. Mereka akan diberikan insentif atau elaun.

Memberi pengiktirafan melalui Anugerah Budaya Negeri kelantan mengikut kategori. Kriteria penganugerahan adalah sama dengan Anugerah Seni Kebangsaan Negara. Dengan penganugerahan ini, para penggiat seni lebih aktif memperjuangkan seni termasuklah para dalang wayang kulit.

TOKOH WAYANG KULIT KELANTAN

pakcu

Nama: Muhammad Dain Othman

Gelaran: Pak Daim

Tahun lahir: 1952

Asal: Kampung Morak Palekbang, Kelantan

Penglibatan Seni/ Pengalaman:

Beliau meminati wayang kulit semenjak zaman kanak-kanak lagi. Penglibatan secara serius mempelajari ilmu Wayang Kulit Melayu Kelantan bermula pada tahun 1979. Bagi meningkatkan kepakaran dalam ilmu Pendalangan Wayang Kulit Melayu Kelantan, Pak Daim telah berguru secara formal daripada tiga Dalang tersohor iaitu Encik Hamzah Awang Hamat (Pak Hamzah) Kampong Gerong, Tumpat Kelantan (Seniman Negara – Anugerah Wayang Kulit), Encik Hassan b. Omar (Anak arwah Tok Dalang Omar, Kampong Kedai Buloh, Kelantan) dan Encik Jusoh b. Hassan (Che Wa) Kampung Morak, Tumpat, Kelantan, dalang tertua selepas arwah Tok Awang Lah, Kg.Kebakat, Tumpat, Kelantan.

Pak Daim telah menamatkan pembelajaran dalam ilmu Wayang Kulit Kelantan secara perlimau dengan arwah Che Wa pada tahun 1983. Pak Daim berpengalaman luas dalam bidang pendalangan dan membuat kajian dan penyelidikan dalam Wayang Kulit Melayu Kelantan Tradisional serta menjadi pakar rujuk. Kewibawaan Pak Daim bukan sahaja sebagai seorang Tok Dalang mahupun pembuat alat persembahan wayang kulit, malah beliau telah berupaya mengangkat seni wayang kulit ke peringkat antarabangsa.

Pak Daim yang berkelulusan BA (Hons) Antropologi Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1978 terus berjuang bagi mengekal dan memartabatkan Wayang Kulit Melayu Kelantan dari aspek persembahan dan pendalangan supaya kekal relevan dalam arus permodenan agar terus diterima masyarakat. Ke arah mencapai matlamat tersebut, Pak Daim telah menubuhkan Galeri Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan pada tahun 2008.

pakcu

Nama: EYO HOCK SENG
Gelaran: Pak Cu
Tahun lahir: 1955
Asal: Kampung Pasir Parit, Chekok, Pasir Mas, Kelantan


Penglibatan Seni/ Pengalaman:

Eyo Hock Seng atau Pak Cu meminati wayang kulit semenjak berusia 9 tahun lagi melalui pemerhatian kesenian ini sekitar kampungnya apabila sering mengikuti permainan ini di serata tempat di Kelantan. Beliau membesar dalam linkungan masyarakat Melayu dan seni warisan ini begitu memikat hatinya. Berbekalkan minat yang mendalam, beliau telah menghafal cerita-cerita yang ditontonya dan mula meniru setiap gerak-geri dalang yang membuat persembahan ketika itu untuk mendalami ilmu pendalangan ini dan menyimpan hasrat untuk menjadi dalang wayang kulit yang terkenal.

Pak Chu telah berguru dengan beberapa Tok Dalang, antaranya seorang Dalang yang masyur ketika itu iaitu Pakcik Asin atau nama sebenarnya Hashim bin Isa. Pakcik Asin yang menyedari bakat dan kebolehan Pak Cu telah mengambilnya sebagai anak murid. Pakcik Asinlah yang banyak mencurahkan ilmu kepada Pak Cu. Pak Cu juga berguru dengan Tok Dalang Wayang Kulit tersohor iaitu Allahyarham Abdullah Ibrahim atau Dollah Baju Merah ketika berusia 23 tahun. Pada tahun 1978, Pak Chu belajar dan mengikut Kumpulan Dollah Baju Merah selama 6 bulan dan berjaya “bersemah” atau menamatkan pengajian secara rasmi dengan Mahagurunya itu.

Beliau merupakan satu-satunya dalang berbangsa Cina di Malaysia yang aktif mempersembahkan permainan Wayang kulit Kelantan/Siam dan juga dikenali sebagai Tukang Karut Dikir Barat kerana kepetahannya berbalas pantun semasa menyanyikan lagu Dikir Barat. Beliau menguasai ilmu yang lengkap dalam bidang wayang kulit yang meliputi ilmu pendalangan, muzik, peralatan muzik, pembuatan patung dan juga peraturan dalam wayang kulit. Selain dikenali dalam persembahan wayang kulit dan Dikir Barat, beliau juga mahir dalam persembahan Makyong, Menora dan Main Puteri (bermain alat muzilk).

Bagi memastikan seni warisan ini dijunjung dan kekal menjadi seni warisan negara, Pak Cu menubuhkan Kumpulan Wayang Kulit Sri Campuran pada tahun 1983 yang dianggotai pelbagai kaum terdiri daripada Melayu, Cina dan Siam dan memenuhi undangan dalam dan luar negara antaranya Brunei, Indonesia, Taiwan, Thailand, Singapura, Perancis dan berupaya mengangkat seni wayang kulit ke peringkat antarabangsa serta menjadi pakar rujuk seni warisan ini.

WAYANG KULIT KELANTAN DAN MASYARAKAT

Persembahan wayang kulit memainkan peranan penting sebagai sistem nilai dan budaya dalam masyarakat. Pada zaman dahulu, golongan pemerintah menggunakan persembahan wayang kulit sebagai media menyalurkan idea, sistem kepercayaan dan nilai kepada penduduk luar bandar yang buta huruf.

Wayang kulit juga berfungsi sebagai saluran komunikasi dan merupakan pelengkap kepada kegiatan upacara ritual. Wayang kulit juga dilihat sebagai alat yang boleh menyatu padukan masyarakat pelbagai etnik, pelbagai latar belakang dan pelbagai peringkat umur. Dalam proses perkembangannya, wayang kulit telah banyak mengalami perubahan.

Setelah melalui pelbagai zaman, wayang kulit dapat menyesuaikan dirinya secara bebas dan kreatif. Wayang kulit yang bermula sebagai pelengkap kepada upacara penyebaran agama, kemudiannya berkembang sebagai alat pendidikan dan penerangan tentang nilai-nilai pembangunan dan pembentukan masyarakat. Inilah antara faktor utama wayang kulit sehingga kini masih kekal menjadi salah satu tradisi kesenian negara. Aliran jalan cerita, bentuk patung dan watak masih lagi mengekalkan keaslian dan pengaruh asalnya, tetapi pada adegan-adegan kelakar 'comic relief' telah dimasukkan unsur-unsur tempatan dari segi bahasa dan juga peristiwa-peristiwa semasa.

Terdapat pelbagai tanggapan masyarakat terhadap seni persembahan ini sama ada ia berbentuk negatif atau positif. Ada yang menganggap persembahan ini penuh dengan tahyul, syirik dan membuang masa. Namun, bagi yang melihat persembahan wayang kulit sebagai sebuah persembahan yang simbolik dan kaya dengan ilmu serta keseniannya yang terselindung di sebalik gerak-geri patung, alunan muzik dan cerita yang disampaikan, persembahan wayang kulit ini dilihat berperanan sebagai media yang menyampaikan mesej dan pengajaran kepada masyarakat.

Sama ada negatif atau positif pemikiran seseorang itu, apa yang pasti seni ini dapat melihat sejauh mana keupayaan dalang dalam persembahan wayang kulit. Kepuasan seseorang dalang tergambar pada wajah mereka apabila dapat menghasilkan patung yang cantik dan dapat mempersembahkan pertunjukkan yang menarik kepada pengunjung. Sekiranya Tok Dalang pandai menyesuaikan persembahan cerita wayang kulit mengikut selera dan kehendak penonton serta pandai mengulas sesuatu isu sosial yang menepati kehendak masyarakat, maka wayang kulit ini bukan sahaja releven tetapi dapat terus kekal bertahan untuk tatapan generasi akan datang.

JABATAN WARISAN NEGARA
Blok A dan B, Bangunan Sultan Abdul Samad,
Jalan Raja 50050 Kuala Lumpur

No. Tel : 03 - 2612 7200
No. Faks : 03 - 2604 4900
Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Income Tax Planning

    View Service