Pilihan Bahasa   

MY
                              

Senarai Soalan Lazim

Soalan & Jawapan Lazim Warisan

Bagaimana Pengisytiharan Warisan Kebangsaan dilakukan?

Seksyen 67. Akta Warisan Kebangsaan menyebutkan :
  1. Menteri boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengisytiharkan mana-mana tapak warisan, objek warisan, warisan kebudayaan bawah air yang disenaraikan dalam Daftar atau mana-mana orang yang hidup sebagai suatu Warisan Kebangsaan.
  2. Dalam membuat pengisytiharan dibawah subseksyen (1) Menteri boleh menimbangkan:
    • Kepentingan sejarah, hubungan dengan atau perhubungan dengan sejarah Malaysia
      Ciri-ciri reka bentuk atau estetik
    • Pembaharuan atau pencapaian saintifik atau teknikal
    • Hubungan sosial atau kebudayaan
    • Potensi untuk mendidik, menjelaskan atau menyediakan penyiasatan saintifik lanjut berhubung dengan warisan kebudayaan Malaysia
    • Kepentingan dalam mempamerkan kekayaan, kepelbagaian atau integrasi bentuk yang luar biasa
    • Jarang tidaknya atau keunikan warisan semulajadi, warisan budaya ketara atau tidak ketara atau warisan kebudayaan dibawah air
    • Gambaran bentuk suatu tapak atau objek sebagai sebahagian daripada kelas atau jenis suatu tapak atau objek
    • Apa-apa perkara lain yang berkaitan dengan penentuan warisan kebudayaan penting.
  3. Jika tapak, objek atau warisan kebudayaan di bawah air terletak diatas tanah Negeri, Menteri hendaklah berunding dengan Pihak Berkuasa Negeri sebelum membuat apa-apa pengisytiharan dibawah subseksyen (1).
  4. Jika tapak, objek atau warisan kebudayaan di bawah air terletak diatas tanah beri hakmilik atau dipunyai oleh mana-mana orang selain Kerajaan Persekutuan atau suatu Kerajaan Negeri, pemunya, penjaga atau pemegang manah tapak itu, objek tidak dialih atau warisan kebudayaan di bawah air itu hendaklah diberitahu sekurang-kurangnya tiga puluh hari sebelum tarikh pengisytiharan dicadangkan itu.
  5. Jika pengisytiharan dibawah subseksyen (1) melibatkan suatu warisan kebudayaan tidak ketara dan hak cipta itu hendaklah diperoleh sebelum apa-apa pengisytiharan dibuat.
  6. Jika pengisytiharan dibawah subseksyen (1) melibatkan orang yang hidup, keizinan orang itu hendaklah diperoleh sebelum apa-apa pengisyitiharan dibuat.
  7. Suatu salinan perintah hendaklah disampaikan kepada pemunya, penjaga atau pemegang amanah tapak, objek atau warisan kebudayaan di bawah air atau kepada orang yang hidup itu.
  8. Mana-mana orang yang membantah pembuatan pengisyitiharan dibawah subseksyen (1) boleh mengemukakan bantahan secara bertulis kepada Menteri dalam masa tiga bulan dari tarikh penyiarannya dan boleh memohon kepada Menteri bagi pembatalan perintah itu.
  9. Menteri boleh, selepas dinasihati oleh Majlis, membatalkan atau enggan membatalkan perintah itu dan keputusan itu adalah muktamad. 

Mengapa pentingnya sesuatu khazanah warisan itu perlu didaftarkan?

Pendaftaran status Warisan atau lebih-lebih lagi Warisan Kebangsaan akan meninggikan lagi nilai sesuatu khazanah warisan itu. Ia akan dilindungi sepenuhnya dan dipelihara keaslian dan mutunya sentiasa oleh pakar-pakar yang berkaitan. Setiap khazanah warisan yang telah diwartakan sebagai Warisan atau diisytiharkan segabai Warisan Kebangsaan tidak akan melupuskan hak pemilikan tuan punya (termasuk hak Harta Intelek Pemunya). Ini termasuk hak pemunya untuk menjual atau memindahkan harta warisan berkenaan. Namun begitu setiap pindah milik atau pergerakan kekal harta warisan tersebut perlu dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Warisan bagi tujuan perlindungan kepada khazanah warisan negara kita.

Apakah maksud Daftar Warisan Kebangsaan?

DAFTAR WARISAN KEBANGSAAN 

Daftar Warisan Kebangsaan merupakan sebuah buku Daftar yang diwujudkan berdasarkan peruntukan seksyen 23, Akta Warisan Kebangsaan 2005 seperti berikut:

Seksyen 23

(1) Pesuruhjaya hendaklah mewujudkan dan menyenggarakan suatu daftar yang dikenali sebagai Daftar Warisan Kebangsaan sebagaimana yang ditetapkan yang mengandungi senarai butiran warisan yang didaftarkan di bawah Akta ini.

 (2) Pesuruhjaya hendaklah menjadikan Daftar tersedia untuk pemeriksaan awam tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang difikirkannya patut.

(3) Mana-mana orang boleh apabila dibayar fi yang ditetapkan oleh Menteri-

(a)  memeriksa Daftar; dan

(b) membuat salinan, atau mengambil cabutan daripada Daftar.

 

Apakah itu Akta Warisan Kebangsaan?

Suatu Akta yang memberi peruntukan bagi pemeliharaan Warisan Kebangsaan, Warisan Kebudayaan Ketara (Tangible Cultural Heritage), Warisan Kebudayaan Tak Ketara (Intangible Cultural Heritage) dan warisan semulajadi. Ia juga memberikan dasar kaedah dan peraturan berkaitan perlindungan dan pengurusan khazanah warisan serta mewujudkan Daftar Warisan Kebangsaan. Akta Warisan Kebangsaan ditadbir dan dijalankan kuasa oleh seorang Pesuruhjaya Warisan yang dilantik oleh menteri. Majlis Warisan Kebangsaan menasihati menteri dan Pesuruhjaya Warisan dalam hal ehwal berkaitan warisan.

Apakah skop-skop di dalam warisan?

Berdasarkan kepada Akta Warisan Kebangsaan 2005, pembahagian skop warisan adalah seperti berikut :

  1. Tapak Warisan
    Iaitu kawasan atau zon warisan kebudayaan seperti tapak arkeologi, bandar, kampung dan lain-lain termasuk momumen, bangunan, dan tapak alam semulajadi seperti hutan, tasik dan lain-lain termasuk flora dan fauna.

  2. Objek Warisan
    Iaitu meliputi benda-benda purba mudah alih, artifak, warisan kebudayaan ketara dan warisan kebudayaan tak ketara yang telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Harta karun (harta yang sengaja disorokkan) tidak termasuk di bawah kategori ini.

  3. Warisan Kebudayaan Bawah Air
    Iaitu sesuatu warisan yang berada di bawah permukaan laut yang mempunyai hasil atau kesan campurtangan manusia yang meliputi tapak, struktur, bangunan, artifak, pesawat udara, kapal, kargo, objek prasejarah serta gabungan kesan arkeologi dan alam semulajadi yang telah diwartakan di bawah Seksyen 63, Akta Warisan Kebangsaan 2005.

  4. Warisan Orang Hidup
    Iaitu mana-mana tokoh yang masih hidup yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang berkaitan warisan serta telah diisytiharkan sebagai Warisan Orang Hidup di bawah Seksyen 67, Akta Warisan Kebangsaan 2005.

 

Apakah definisi warisan?

Warisan adalah sesuatu yang diwarisi dari generasi yang terdahulu. Ia merupakan khazanah negara yang pernah atau sedang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu kelompok masyarakat atau manusia sejagat yang menjadi tanggungjawab bersama untuk dilindungi dan dikekalkan.Warisan kita adalah ilmu, pengetahuan dan kepakaran yang diwariskan kepada kita memalui cara hidup, kepercayaan yang dijelmakan melalui objek budaya. Ia menggambarkan memori keseluruhan hidup masyarakat serta melambangkan ketamadunan sesuatu masyarakat itu.

 

JABATAN WARISAN NEGARA
Blok A dan B, Bangunan Sultan Abdul Samad,
Jalan Raja 50050 Kuala Lumpur

No. Tel : 03 - 2612 7200
No. Faks : 03 - 2604 4900
Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Ikuti Kami di Sosial Media

Income Tax Planning

    View Service