Pilihan Bahasa   

MY
                              

PERTAHANAN DIRI

           

PERTAHANAN DIRI
 
 
Seni Pertahanan Diri merupakan satu kaedah yang wujud bagi seseorang mempertahankan diri daripada serangan musuh. Ia merupakan kaedah berlawan secara tradisi dengan atau tanpa menggunakan senjata. Pada zaman dahulu, adalah menjadi satu amalan setiap orang terutamanya kaum lelaki harus mempelajari dan mempunyai ilmu pertahanan diri. Setiap bangsa mempunyai ilmu seni bela diri atau ilmu seni mempertahankan diriyang berkembang hasil cetusan tempatan atau diubah suai daripada seni bela diri luar yang meresap masuk seterusnya diwarisi sejak turun-temurun, serta diamalkan sebagai satu warisan budaya sesuatu kaum atau masyarakat.
 
Seni pertahanan diri telah wujud sejak berkurun abad dahulu. Terdapat beberapa jenis seni mempertahankan diri di negara ini. Antaranya adalah Seni Persilatan Melayu, Silambam, Wushu, Kuntau dan sebagainya. Seni mempertahankan diri juga sering dikaitkan dengan amalan budaya sesuatu kaum dan seni ini haruslah dilihat dalam konteks yang lebih holistik iaitu sebagai asas menyatupadukan masyarakat di negara ini. Hal ini kerana seni pertahanan diri bukan hanya bertujuan untuk melahirkan individu-individu yang berdisiplin tinggi malah mendidik hati dan jiwa pengamalnya memupuk semangat cintakan tanah air, bangsa dan agama.
 
Terdapat 2 jenis seni pertahanan diri yang telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan iaitu:
 

BIL

BUTIRAN

TAHUN ISYTIHAR

1.     

Seni Persilatan Melayu

2007

2.     

Silambam

2012

 
 
  1. Seni Persilatan Melayu
 
Seni Persilatan Melayu atau silat begitu sinonim dengan bangsa Melayu.Silat adalah seni pertahanan diri yang hidup dan berakar dari Rumpun Melayu Nusantara. Sebelum perkataan Silat digunakan, seni bela diri orang Melayu dikenali sebagai ilmu perang, ilmu hulubalang, ilmu perajurit atau ilmu gagah berani. Orang Melayu telah mencipta dan mengamalkan ilmu seni silat sebelum kedatangan pengaruh luar bagi memperkuat dan mempertahankan kerajaan Melayu tradisi dan ianya  pernah melalui zaman kegemilangannya tersendiri seperti yang ditonjolkan oleh pahlawan atau hulubalang daripada kerajaan atau kesultanan Melayu pada zaman lalu.
 
Silat ini sememangnya mempunyai pelbagai bentuk dan gaya yang boleh diinovasikan sama antarnya silat pulut, silat buah pukul atau seni tempur dan silat olahraga. Keasliannya dan geraknya diabadikan dengan dipelajari dan diwariskan secara turun-temurun.Di Malaysia, terdapat lebih daripada 500 Perguruan Silat yang bergiat aktif di Malaysia antaranya Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Buah Pukul, Silat Lincah, Silat Pulut, Bunga, Harimau, Sendi Naga, Cimande, Cekak, Kunta dan lain-lain lagi. Seni persembahan silat telah diiktiraf sebagai Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik (UNESCO) sebagai Warisan Dunia dibawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity   pada Disember 2019.

  
  
 
  1. Silambam
 
 
  
 
Silambam merupakan sejenis seni mempertahankan diri yang terunggul bagi bangsa Tamil di seluruh dunia. Para pengkaji berpendapat bahawa seni silambam ini telah wujud sejak 5000 tahun dahulu iaitu sejak zaman pra-sejarah dan sebelum kedatangan kaum Aryan ke India. Justeru, seni silambam ini boleh dianggap sebagai seni mempertahankan diri yang tertua di dunia. Seni Silambam merupakan satu seni di dalam 64 jenis seni yang digariskan oleh masyarakat Tamil tradisional sebagai seni mempertahankan diri yang perlu dipelajari untuk menjadi insan yang sempurna. Seni Silambam telah berkembang ke Asia Tenggara di antara 1000 hingga 1500 tahun yang lalu.
 

JABATAN WARISAN NEGARA
Blok A dan B, Bangunan Sultan Abdul Samad,
Jalan Raja 50050 Kuala Lumpur

No. Tel : 03 - 2612 7200
No. Faks : 03 - 2604 4900
Emel : info@heritage.gov.my

Jumlah Pelawat :

Follow us on Social Media

Ikuti Kami di Sosial Media

Income Tax Planning

    View Service