MADRASAH IDRISIAH, BUKIT CHANDAN, KUALA KANGSAR, PERAK

 

Madrasah Idrisiah yang terletak di kawasan Bukit Chandan, Kuala Kangsar Perak ini  ditubuhkan pada tahun 1917. Pada April 1922 bersamaan 1342 Hijrah, madrasah ini mula beroperasi sebagai sebuah sekolah aliran agama pertama  yang ditubuhkan di negeri Perak. Madrasah Idrisiah merupakan satu-satunya sekolah yang melaksanakan sistem pendidikan sekolah moden serta mempunyai sistem sekolah berasrama pada waktu itu. Selain itu, madrasah ini merupakan Sekolah Menengah Agama Diraja pertama di negeri Perak.   Penubuhannya diasaskan atas titah DYMM Sultan Idris Mursyidul Adzam Shah (1887-1916 M), Sultan Perak yang ke-28.  Pada tiga tahun pertama, Madrasah Idrisiah hanya menerima pelajar-pelajar dari golongan anak yatim. Kemasukan pelajar kemudiannya  dibuka kepada semua golongan.   Madrasah Idrisiah telah berjaya melahirkan ramai alim ulama dan tokoh Islam yang disegani sama ada di dalam mahupun diluar negeri Perak.

 

Bangunan madrasah ini merupakan struktur kayu yang terbesar dan tertua di Perak, terdiri daripada bangunan dua tingkat dimana bahagian bawahnya berdinding konkrit berlepa manakala bahagian atasnya pula berdinding papan. Lantai aras bawah  dibina daripada simen yang dikemaskan dengan jubin, manakala lantai aras atas diperbuat daripada papan. Silingnya diperbuat daripada papan manakala atapnya adalah daripada asbestos. Dua buah tangga kayu dibina untuk menghubungkan aras bawah dan atas bangunan Terdapat tiang konkrit berlepa dan tiang  kayu di sekeliling bangunan  yang dibina secara bersekali dengan dinding dan ada juga yang dibina  secara berasingan. Tingkap dan pintunya berdaun papan dan cermin. Walaubagaimanapun, semasa penyelidikan awal dilakukan didapati bahawatingkap dan pintu ini telah banyak diubah  daripada bahan dan bentuk asalnya.

 

Kerja- kerja pemuliharaan yang telah dilakukan merangkumi kerja membaiki, merawat, mengganti elemen dan struktur yang rosak dengan bahan yang sama seperti  bahan yang asal sama ada dari segi jenis bahan, saiz, warna, bentuk , teknik pembuatan dan teknik pemasangan. Terdapat beberapa kerosakan pada bangunan ini, antaranya kelembapan pada dinding, permukaan cat mengelupas , penggaraman pada lepaan dinding, kerosakan struktur kayu, kerosan pada komponen dan elemen, kerosakan bumbung dan sistem perparitan yang tidak teratur. Selain itu, kerja-kerja membuka semula struktur baru dan binaan baru untuk mengembalikan bangunan kepada asal juga dilaksanakan.  Kerja-kerja lain yang dilakukan selain daripada  kerja konservasi ialah memasang sisitem sanitari dan paip dalaman, sistem elektrik dan penghawa dingin, telekomunikasi dan alat pemadam kebakaran.