Welcome to Jabatan Warisan Negara   Click to listen highlighted text! Welcome to Jabatan Warisan Negara Powered By GSpeech
All for Joomla All for Webmasters

Thursday - May 25, 2017

Weather: 27°C

SENARAI TAPAK ARKEOLOGI WARISAN KEBANGSAAN

GUA HARIMAU BUKTI KEWUJUDAN ZAMAN LOGAM SEKITAR 4,000 TAHUN DAHULU

PENYELIDIKAN:

Gua Harimau mula diekskavasi oleh Williams-Hunt dalam tahun 1951. Beliau telah menemui satu rangka kanak-kanak, beliung, tembikar dan sisa makanan. Beliau telah dapat membuat pentarikhan radiocarbon, 3,450 ± 150 BP, yang merupakan pentarikhan radiokarbon pertama Malaysia. Kajian lanjutan telah dijalankan oleh USM sejak 1987 dan menemui bukti pengkebumian daripada 4,920 ± 270 BP hingga 1,760 ± 95 BP.

KEPENTINGAN TAPAK:

Gua Harimau merupakan sebuah tapak prasejarah yang penting di Malaysia. Faktor yang membawa kepada kepentingannya adalah penemuan kebudayaan zaman gangsa yang terawal sekali di Malaysia. Pentarikhan radiokarbon yang diberikan ke atas pengkebumian tersebut adalah di antara 3,000 hingga 4,000 tahun dahulu. Ekskavasi arkeologi telah menemui pengkebumian yang merangkumi dua zaman budaya, iaitu budaya Neolitik dan Gangsa. Ekskavasi di Gua Harimau telah menemui artifak kapak gangsa yang lengkap dengan acuanya yang ditemui buat pertama kali dalam keadaan tidak terganggu. Tapak ini juga menghasilkan pelbagai jenis tembikar tanah prasejarah yang lengkap serta perhiasan prasejarah seperti kalong dan anting siput, gelang cengkerang dan batu. Kajian saintifik yang dijalankan atas rangka manusia dan tembikar mencadangkan bahawa masyarakat prasejarah Gua Harimau mempunyai persamaan dan hubungan dengan populasi manusia zaman Neolitik yang mendiami tapak Gua Cha di Kelantan dan Ban Kao di Thailand.

Artifak gangsa umumnya diperbuat dengan mengggabungkan tiga jenis logam iaitu kuprum, timah dan plumbum. Bukti arkeologi pertama tentang gangsa di Malaysia diperolehi pada satu ekskavasi pada tahun 1988 iaitu satu kapak gangsa serta acuan tembikar yang digunakan untuk menghasilkannya dijumpai pada satu pengebumian yang dipertarikhkan sekitar 3,500-4,000 tahun dahulu di dalam Gua Harimau di Lembah Lenggong, Perak. Ini menunjukkan kemungkinan adanya industri gangsa asli di Malaysia dan tidak terhad di negara Thai sahaja seperti yang dianggap sebelum ini.

JUMPAAN:

  

Jumpaan pada tapak ini, terdiri daripada sekurang-kurangnya 12 rangka manusia yang ditemui dalam posisi lunjur dengan barangan kiriman yang terdiri daripada kapak gangsa dan acuannya, tembikar tanah, alat batu dan pemukul kulit kayu, barangan kemas seperti gelang cengkerang dan batu, anting dan kalong cengkerang, manik kaca, dan sisa makanan tulang haiwan dan siput sungai. Tapak ini berfungsi sebagai tapak pengkebumian zaman Neolitik dan Gangsa.

Gua Harimau merupakan sebuah tapak prasejarah yang penting iaitu penemuan kebudayaan zaman gangsa yang terawal sekali di Malaysia. Kajian saintifik yang dijalankan atas rangka manusia dan tembikar mencadangkan bahawa masyarakat prasejarah Gua Harimau mempunyai persamaan dan hubungan dengan populasi manusia zaman Neolitik yang mendiami tapak Gua Cha di Kelantan dan Ban Kao di Thailand.

GUA TELUK KELAWAR

PENYELIDIKAN:

Tapak Gua Teluk Kelawar juga terletak di Bukit Kepala Gajah, telah diekskavasi pada 1990 (Zuraina; 1996, 2003). Pelindung batuan yang berusia lebih 31 ribu tahun (Mokhtar; 2005) ini mendedahkan bukti alat batu dan sisa makanan Paleolitik Akhir. Tapak ini kini menjadi tapak kajian utama bagi kajian kesinambungan Paleolitik akhir ke Neolitik.

KEPENTINGAN TAPAK:

Tapak ini berusia sekitar 10,000 hingga 2,000 tahun dengan kaedah pentarikhan radiokarbon. Pada lapisan >10,000 tahun dahulu- ditemui alat batu, sisa makanan. Material alat batunya adalah terdiri daripada pebel sungai dan batu kapur. Pada lapisan 8,000 tahun dahulu ditemui pengkebumian rangka manusia Holosen.Tapak ini telah memberikan bukti aktiviti Pleistosen Akhir-Awal Holosen di Lembah Lenggong. Adaptasi masyarakatnya adalah tasik, sungai, sekitaran hutan seperti sekarang.

Gua Teluk Kelawar terletak dalam kompleks batu kapur Bukit Kepala Gajah. Gua ini berada pada kedudukan latitude 5˚ 07. 44’ utara dan longitud timur, dengan ketinggian 76 meter di atas aras laut. Tapak ini telah mula dijalankan kajian oleh USM sejak 1990. Hasil kajian mendedahkan tapak Gua Teluk Kelawar telah digunakan daripada sekitar 11,000 hingga 6,000 tahun dahulu.

JUMPAAN:

Kebanyakan artifak yang ditemui ialah alat batu unifas dan bifas, serta sisa makanan seperti siput sedut sungai Brotia Costula dan Brotua Spinosa, dan bukti fauna lain eperti babi hutan, kijang, pelanduk dan rusa. Bukti fauna ini menunjukkan bahawa rupa bentuk sekitaran pada masa tersebut adalah sama seperti yang kita lihat sekarang, iautu dalam hutan hujan tropikan. Kajian juga menemui satu rangka manusia GTK1) yang bertarikh sekitar 8,000 tahun dahulu. Rangka ini telah dikebumikan dalam keadaan terlipat bersama alat batu unifas dan bifas serta sisa makanan. Pengebumian ini menunjukkan bahawa zaman Paleolitik di Malaysia berterusan sehingga awal Holosen, sebelum mereka boleh menghasilkan tembikar. Selain bukti arkeologi, Gua Teluk Kelawar mendedahkan bentuk pelindung batuan yang sering ditemui di formasi batu kapur Malaysia.

 

KOTA JOHOR LAMA

LATAR BELAKANG:

Kota Johor Lama juga dikenali sebagai Kota Batu mempunyai sejarah yang begitu menarik. Kota ini telah dibina dengan arahan Sultan Alauddin Riayat Syah II iaitu putera kepada Sultan Mahmud Syah I , Sultan Melaka terakhir. Selepas Melaka dikalahkan Portugis pada tahun 1511, Sultan Mahmud telah mendirikan pusat-pusat pemerintahan di beberapa tempat iaitu di Muar, Pagoh, Bentan, dan Kampar. Baginda mangkat di Kampar dan dimakamkan disana pada 1528. Putera baginda ditabalkan menjadi Sultan dikenali sebagai Sultan Alauddin Riayat Syah II telah berpindah ke Johor dari Kampar.

PERTAHANAN KOTA JOHOR LAMA:

 

Pada masa dahulu , beberapa pucuk meriam yang siap dengan pengawal-pengawal ditempatkan di tembok kota yang terletak dihujung Tanjung Batu itu, kerana dari situ pemandangan ke arah Sungai Johor dapat dilihat dengan jelas sama ada ke arah hilir atau hulunya. Kawasan kota merupakan kawasan strategik kerana dapat melihat pergerakan musuh yang melalui sungai Johor dengan jelas sekali dan pihak musuh pula tidak mudah dapat memanjat tebing sungai yang tinggi dan curam kota ini. Musuh-musuh yang datang menyerang menghadapi risiko yang besar dan akan ditembak peluru-peluru meriam yang dipasang dari atas kota sekiranya hendak melintasi melalui sungai Johor menuju ke arah hulu. Disebelah hulu pula mereka akan menghadapi tentangan yang hebat dari peluru meriam yang dipasang dari arah sebuah lagi kota atau kubu yang terletak di pinggir sungai Johor Lama. Kota tersebut dikenali sebagai Kubu Budak atau Kota Budak sememangnya menjadi pusat pertahanan yang terpenting jika terdapat serangan dari pihak musuh dari arah hulunya.

Di Johor, baginda telah mendirikan pusat pemerintahan di Pekan Tua yang kini dikenali Kangkar Lubuk Pekan di Hulu Sungai Johor, kira-kira 11 km ke hulu ke Bandar Kota Tinggi. Ke hilir sedikit dari tempat baginda bersemayam, didirikan sebuah kota pertahanan yang di kenali sebagai Kota Kara. Pada tahun 1553, setelah lima tahun bersemayam di Pekan Tua, angkatan perang Portugis dari Melaka di bawah pimpinan Estevao da Gama telah datang menyerang Kota Kara dan menguasai kota tersebut. Sultan Alauddin Riayat Syah II dan pengikutnya telah berundur dari Pekan Tua sebelum Portugis datang menyerang. Baginda telah berundur ke Sayong dan mendirikan sebuah kota pertahanan di sana. Baginda datang semula ke Pekan Tua dan membaiki Kota Kara yang diserang Portugis.

Pada tahun 1536, Portugis sekali lagi datang menyerang Kota Kara dan Pekan Tua. Selepas Pekan Tua dan Kota Kara diserang, baginda telah berundur ke Muar. Kemudian pada 1540 baginda bersemayam di Bentan dan Kampar, pada tahun itu juga baginda kembali ke Johor dan membuat pusat pemerintahan di Johor Lama di tepi Sungai Johor. Sebuah kota pertahanan telah dibina di atas Tanjung Batu bertujuan untuk mengawal musuh-musuh yang datang menceroboh melalui sungai Johor ke atas Johor Lama yang berkembang sebagai sebuah pusat perdagangan.

Kira-kira 24 tahun Sultan Alauddin Riayat Syah II berkerajaan di Johor Lama, satu angkatan perang dari Acheh telah datang menyerang Johor Lama dibawah pimpinan Sultan Alauddin Riayat Syah Al-Qahhar. Peperangan yang berlaku pada tahun 1564 berkesudahan dengan kekalahan dipihak Johor. Johor Lama dan pusat pertahanan kerajaan Johor di Kota Batu dibinasakan dan berbagai-bagai barang berharga dirampas dan dibawa ke Acheh termasuk beratus-ratus pucuk meriam. Sultan Alauddin Riayat Syah II juga telah ditawan dan dibawa ke Acheh.

Putera baginda yang bernama Raden Badar telah dimashyurkan sebagai Sultan Johor yang baru oleh pihak Acheh dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah. Baginda telah dihantar kembali ke Johor dan baginda telah membaiki semula Kota Batu. Baginda yang tidak suka dikuasai oleh Acheh telah memindahkan pemerintahan baginda ke Seluyut. Baginda membuat keputusan ini kerana kemungkinan Acheh akan datang menyerang Johor sekiranya baginda tidak menurut perintah dari Sultan Acheh. Seluyut dijadikan sebagai pusat pemerintahan yang baru dan tempat ini semakin ramai penduduk . ( Tun Seri Lanang dilahirkan di Seluyut pada tahun 1565).

Pada tahun 1571 Sultan Muzaffar Syah mangkat di Seluyut dan dimakamkan di sana dikenali sebagai Marhum Seluyut. Baginda digantikan oleh anak saudara baginda iaitu Sultan Abdul Jalil atas wasiat baginda mahukan anak saudaranya mengambil alih tahta yang ditinggalkan. Sultan Abdul Jalil pada masa itu hanya berusia 8 tahun dan baginda mangkat setelah genap setahun ditabalkan. Baginda digantikan oleh ayahanda baginda yang bergelar Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah II. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah II pada mulanya bersemayam di Seluyut tetapi tidak lama kemudian baginda telah memidahkan pusat pemerintahan di Johor Lama.

Kota Johor Lama yang telah ditinggalkan selama 9 tahun telah diperbaiki dan diperbesarkan. Kota Johor Lama yang telah diperbaiki ini telah diperlengkapkan dengan meriam-meriam untuk mempertahankan kota tersebut apabila diserang. Pada masa pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah II, Kota Johor Lama menjadi sebuah pusat pertahanan yang penting. Sungai Johor merupakan laluan para pedagang yang datang dari luar seperti Gujerat, China dan sebagainya. Johor Lama menjadi sebuah pusat perdagangan yang maju dan telah menjejaskan pusat perdagangan Portugis di Melaka.

Oleh itu untuk membendung keadaan yang kurang menyenangkan terutama sikap bermusuhan yang ditunjukkan oleh Sultan Johor, pada tahun 1576 Portugis telah menghantar satu angkatan perang menyerang Johor tetapi serangan ini berjaya dipatahkan oleh askar Johor di Kota Johor Lama. Portugis tidak berputus asa dan pada tahun 1578 portugis melancarkan serangan terhadap Johor Lama dan sekali lagi ianya gagal untuk memusnahkan kota ini. Serangan terhadap Johor Lama tidak datang dari pihak Portugis tetapi juga dari pihak Acheh. Walaupun ada hubungan kekeluargaan antara kedua pihak hasil perkahwinan antara Sultan Ali Jalla Abdul Jalil II dengan salah seorang puteri Acheh, baginda sultan tidak menyukai dengan tindakan pihak Acheh yang menganggap Johor sebagai sebahagian daripada Acheh dan perlu menurut arahan daripada pemerintah Acheh. Keretakan ini membawa kepada peperangan pada tahun 1582 antara Acheh dan Johor tetapi Acheh gagal menewaskan Johor kerana pihak Johor mendapat bantuan daripada Portugis di Melaka.

Sejak mendapat pertolongan daripada Portugis, terjalin persahabatan antara kedua pihak selama 5 tahun tetapi ianya tidak kekal lama. Perselisihan demi perselisihan terjadi antara kedua pihak dan membawa kepada peperangan pada 21 April 1587. Portugis telah menghantar angkatan perang menyerang Kota Johor Lama diketuai oleh Antonio de Noronha. Portugis sekali lagi gagal menawan Kota Johor Lama dan berundur balik ke Melaka. Kegagalan serangan tersebut tidak melemahkan semangat Portugis sebaliknya pada 10 Ogos 1587, satu pasukan perang yang diketuai oleh Poulo de Lima Pereira datang membantu pasukan Portugis yang sedang menyerang Kota Johor Lama dan akhirnya Kota Johor Lama berjaya ditawan. Kawasan Kota Budak atau Kubu Budak juga telah dapat ditawan oleh pihak Portugis.

MEGALITIK PENGKALAN KEMPAS

PENYELIDIKAN:

Kajian dan penyelidikan arkeologi megalitik di Semenanjung Malaysia pertama kali dilakukan oleh I.H.N Evans di tapak Pengkalan Kempas pada tahun 1919. Data yang dilaporkan oleh Evans, terdapat sekitar 15 batu granit sementara tiga menhir utama serta batu laterit dalam keadaan berselerakan, condong dan rebah. Sewaktu proses gali cari dilakukan telah ditemui seramik berwarna keabu-abuan (kemungkinan kesan glaze yang terhakis bercampur dengan tanah yang berair), seladon bahagian mangkuk dan dasar blue-white serta bahagian cawan blue-white. Di samping itu ditemui juga pecahan seladon cawan dan penutup berwarna kelabu kehijauan. Turut ditemui pecahan kaca berbentuk bulat, tiga daripadanya berwarna gelap (dua berwarna biru) dan satu yang telus cahaya (cerah), batu yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengasahan dan syiling yang telah berkarat.

Dari sudut stratigrafi pula, budaya di Pangkalan Kempas adalah sedalam dua kaki (kesan pasir yang berbeza dengan lapisan atas). Lapisan tanah tidak menunjukkan sebarang kesan gangguan sementara kesan pembakaran turut ditemui. Sepanjang proses gali cari di tapak ini tidak ditemui sebarang rangka manusia. Secara keseluruhan beliau berpendapat tapak ini bertarikh sekitar abad 14-15 M. Pentarikhan ini dikaitkan dengan kubur Syeikh Ahmad Majnun yang mempunyai pentarikhan kematian sekitar 1467 M.

INTERPRETASI PENYELIDIKAN:

Hubungan antara Megalitik dan kesenian dapat dilihat berdasarkan kepada peninggalan batu hidup yang wujud di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan. la dapat dibahagi kepada dua aspek utama, iaitu pertama, Megalitik yang mempunyai bentuk kemudi, sudu (payung) dan pedang (keris). Kedua, pola hias atau estetika pada batu hidup ini turut dapat dibahagikan kepada dua unsur iaitu, alam dan binatang yang diwakili hidupan langit, air dan daratan. Sementara pahatan binatang pula diwakili oleh burung merak yang sedang mengembangkan sayapnya, kuda, (batu tegak kemudi), ular dan gajah (batu tegak pedang / keris). Hiasan binatang air pula seperti ikan / katak (batu tegak kemudi), hiasan yang bersifat tumbuhan pula adalah suluran bunga (batu tegak kemudi).

Kesemua aspek ini asasnya dapat dikaitkan dengan kepimpinan yang diwujudkan dalam bentuk perlambangan dan jelas menunjukkan bagaimana pola hias ini mempunyai hubungan dengan adat yang diamalkan di Negeri Sembilan. Pada waktu yang sama terdapat juga pola hias yang mewakili zaman berlainan berdasarkan kepada ragam keseniannya, sebagai contoh pada batu hidup berbentuk pedang terdapat hiasan yang mewakili zaman Klasik iaitu kala. la dalam pengertian ikonografi berperanan sebagai pengusir dan mengawal daripada gangguan kuasa jahat. Pada bahagian atasnya pula mempunyai kalimah Allah yang jelas menunjukkan penerimaan Islam telah dikenali oleh masyarakat semasa pembuatannya dengan tidak melepaskan unsur-unsur sebelumnya.Justeru, keberadaan batu hidup, kuburan Syeikh Ahmad Majnun dan batu bersurat menggambarkan peranan tempat ini yang sememangnya sesuai dengan konsep sakral. Terdapat tiga batu tegak yang berbentuk kemudi, sudu dan pedang. Terdapat batu persegi empat di hadapannya sebagai batu duduk. Terdapat juga makam yang dikenali dengan Syeikh Ahmad Majnun. Hiasan pada batu tegak berunsur binatang kuda, ular, ikan, kala, merak, Allah dan suluran bunga melambangkan unsur prasejarah, klasik dan Islam. Berperanan sebagai tempat perbincangan masyarakat dan menjatuhkan hukuman berhubung dengan status adat.

PULAU KALUMPANG

PENYELIDIKAN:

Tapak ini terletak di kawasan paya bakau di Pulau Kalumpang. Penyelidikan pertamanya dijalankan oleh I.H.N. Evans dalam tahun 1920an dan 1930an setelah mendapat laporan dari B.W.F Barnard iaitu Timbalan pemulih Hutan Perak Utara pada tahun 1924. Tapak ini dipercayai tinggalan masyarakat zaman protosejarah. Penyelidik lain seperti Quaritch-Wales (1936), Sieveking (1955), Dr. Gibson Hill (1956) dan Peacock, Lord Medway, Alastair Lamb serta isterinya Venice Lamb dalam tahun 1963. Pada tahun 1987, penyelidikan dan ekskavasi arkeologi telah dilaksanakan oleh Jabatan Muzium dengan kerjasama jabatan lain di peringkat negeri.

Lokasi yang dipilih ialah Pulau Buluh iaitu salah sebuah pulau daripada jumlah 8 buah pulau keseluruhan yang terdapat di Pulau Kalumpang ini. Penyelidikan berikutnya dilakukan pada tahun 1988 oleh Jabatan Muzium & Antikuiti dengan kerjasama agensi peringkat negeri dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

JUMPAAN:

Artifak yang pernah dilaporkan oleh Evans melalui ekskavasi yang dijalankan ialah perahu tebuk, tulang manusia, pecahan tembikar, manik dari batu akid, kaca dan carnelian. Artifak berunsurkan Hindu juga dijumpai antaranya ialah cincin emas berukiran Dewa Visnu di atas garuda dan gambar cop mohor dalam tulisan Pallava, Sanskrit. Jumpaan ini merupakan bukti akan kewujudan petempatan maritim masyarakat zaman protosejarah di kepulauan ini dan ianya terletak di perairan lalulintas perdagangan antarabangsa suatu ketika dahulu dan pelabuhan di mana pedagang mendapatkan air bersih dan makanan.

Jumpaan beribu-ribu manik kaca Indo-Pasifik dan bahan mentahnya menunjukkan bahawa tapak ini merupakan salah satu tapak yang menghasilkan manik kaca Indo-Pasifik manakala jumpaan beibu-ribu serpihan tembikar tanah juga menunjukkan masyarakat tempatan menghasilkan tembikar tanah untuk diperdagangkan ke kawasan pedalaman. Berdasarkan kepada pentarikhan mutlak, tapak ini sudah pun diduduki oleh masyarakat pesisir sejak 200 SM. Masyarakat Pulau Kelumpang juga merupakan pelayar dan pedagang yang hebat berdasarkan jumpaan ekofak berupa tulang ikan yang berasal dari laut dalam.

Template Settings

Color

For each color, the params below will give default values
Blue Brown Green Pink Violet
Click to listen highlighted text! Powered By GSpeech