MAKANAN WARISAN

 

Sejak zaman-berzaman, makanan tradisi telah lama menjadi identiti sesuatu kaum kerana keistimewaannya. Daripada lauk-pauk, kuih-muih hinggalah makanan pembuka selera ia turut merentasi budaya dan bangsa di negara ini. Setiap kaum mewarisi makanan turun-temurun masing-masing. Malah penyediaan yang kadangkala unit turut menambah perisa masakan tersebut.

 

Justeru dengan itu, Cawangan Adat dan Budaya tidak mahu keistimewaan sesuatu makanan yang diwarisi oleh bangsa tertentu hilang begitu sahaja terdedah kepada makanan barat. Kriteria utama pemilihan makanan tersebut ialah semua agama, kaum dan bangasa di Malaysia boleh menikmati makanan tersebut. Ini secara tidak langsung perkongsian terhadap makanan itu tidak hanya berlaku semasa perayaan sahaja malah dapat menonjolkan populariti masakan tersebut dalam masyarakat Malaysia yang muhibbah.

 

Lebih menarik lagi, makanan warisan ini juga bukan sahaja dimasak dan dimakan oleh rakyat tempatan malah telah melangkaui sempadan antarabangsa.

 

Sehingga kini, sebanyak 195 jumlah makanan warisan telah disytihatarkan sebagai Warisan Kebangsaan. Antaranya seperti berikut:

  

 

JENIS                        :           KUIH-MUIH

OBJEK WARISAN  :           BUAH TANJUNG

 

Kuih buah tanjung dihasilkan daripada adunan kuning telur itik yang dipukul sehingga kembang dan tepung beras dan tepung pulut yang digoreng tanpa minyak. Adunan ini dibulat-bulat kecil dan dimasak di dalam air gula yang siap dimasak bersama daun pandan dan bunga cengkih.

 

 

      

JENIS                        :           KUIH-MUIH  

OBJEK WARISAN  :           CELOROT  

 

Celorot juga dikenali sebagai selorot atau segurut. Kuih ini dihasilkan daripada tepung beras, gula apong (gula nipah), santan dan air. Semua bahan disebatikan dan dimasak menggunakan api yang kecil hingga pekat. Kemudian dimasukkan ke dalam sarung berbentuk silinder yang diperbuat daripada pucuk nipah dan dikukus hingga masak atau lebih kurang setengah jam.

 

 

JENIS                        :           LAUK PAUK  

OBJEK WARISAN  :           MASAK LEMAK MUMBANG  

 

Mumbang kelapa muda terkenal di dalam masakan tradisi ini. Menjadi bahan penting selain bahan-bahan untuk membuat kuah lemak. Mumbang kelapa dihiris nipis dan dimasak dalam kuah lemak daripada santan yang dimasukkan lada hitam, udang kering, ikan bilis, kunyit, daun selasih, daun kunyit dan garam.

 

  

JENIS                        :           LAUK PAUK

OBJEK WARISAN  :           SARAK IKAN

 

Sarak ikan atau solok ikan adalah makanan berasaskan ikan kembung yang diambil isinya. Isi ikan ini akan dicampur dengan lada hitam, halia, bawang putih, bawang merah, kelapa parut, isi ikan kembung, garam dan gula. Campurkan bahan yang ditumbuk dengan telur serta hirisan daun kesum dan dikacau rata. Sumbat bahan ini ke dalam kulit ikan dan bentukkan kembali seperti seekor ikan dan digoreng sehingga masak.

 

 

 JENIS                        :           LAUK PAUK   

OBJEK WARISAN  :           SOLOK LADA

 

Makanan dikukus ini berasaskan cili besar yang masih hijau, isi ikan kembung, kelapa parut, telur, santan, bawang, garam dan gula. Cili besar yang dibelah dan dibuang akan menjadi kulit kepada inti yang dihasilkan daripada bawang, kelapa parut, garam dan gula yang ditumbuk lumat. Bahan yang ditumbuk lumat ini akan digaul dengan telur, isi ikan dan santan.

 

 

 

JENIS                        :           MANISAN

OBJEK WARISAN  :           BUBUR LAMBUK

 

Bubur lambuk merupakan makanan berasaskan beras putih yang dimasak bersama santan, daging, beberapa jenis bahan-bahan rempah seperti halba, kulit kayu manis, bunga cengkih, jintan putih, buah pelaga dan bunga lawang. Selain itu, dimasukkan beberapa jenis daun seperti daun pandan, daun sup dan daun bawang. Setelah bubur siap dimasak bawang goreng ditabur untuk menambahkan lagi rasa dan aroma. Perkara paling penting adalah garam hendaklah dimasukkan secukupnya.

 

 

 

JENIS                        :           BERAS/PULUT  

OBJEK WARISAN  :           NASI MINYAK

 

Nasi minyak merupakan makan berasaskan beras yang dimasak bersama bawang, rempah ratus, kismis, biji gajus dan susu cair. Makanan ini tidak lengkap sekiranya tidak dimasukkan minyak sapi iaitu memberi kesan minyak kepada nasi yang dimasak. Untuk menaikkan wangi nasi minyak, daun pandan dimasukkan selain rempah ratus turut memberi bau yang tersendiri kepada masakan tersebut.

Template Settings

Color

For each color, the params below will give default values
Blue Brown Green Pink Violet
Layout Style
Select menu