Kita terlampau berpolitik, setuju?

Kita terlampau berpolitik, setuju?

Juhardy Ibraham

24 Mac 2019 12:00 PM

MALAYSIA hari ini terlebih-lebih dalam bidang politik? Setuju? Saban hari politik melantun ke muka kita, walau bagaimana gigih kita memaling muka ke tempat lain. Setuju? Walhal ada benda yang lebih penting untuk kita tumpukan seperti kenaikan harga barangan. Setuju?

27 Mac 2019 0 comment  

Sudahlah cuaca panas mengakibatkan migraine, keadaan ekonomi negara kekal tidak menentu dan harga barangan tidak turun-turun, lagi menambah derita. Suhu dan iklim negara yang kering lagi hangat makin diburukkan dengan kerajaan mengekalkan skrip 2018 bahawa ekonomi negara rosak disebabkan `rejim pentadbiran BN’.

Kita sudah dengar dan sudah faham sejak Mei 2018. Bila diulang-ulang, hati tertanya-tanya apakah kerajaan hari ini tiada usaha pembaharuan sebenar?

Biasanya dalam formula penyelesaian sesuatu masalah, kita harus mengenal pasti punca masalah dan kita baiki. Apa yang berlaku sekarang guna formula lain: kenal pasti punca masalah, teruskan bercerita mengenainya, salahkan orang lain dan pilih penyelesaian paling mudah.

1 Lihat Malaysia Airlines

Benar ada masalah. Lalu dicadangkan swasta ambil alih perkhidmatan MAS. Yang mengusulkan cadangan ini, kelihatan ada memori terpilih. Dia pilih untuk lupakan fakta bahawa perkhidmatan MAS di Sabah dan Sarawak pernah diambil alih oleh swasta. Tiket jadi mahal. Orang kampung hendak bawa beras bario dikenakan caj tambahan. Kemudian aturan niaga itu ternyata rugi, maka swasta kembalikan kepada MAS.

Usul jual MAS ini harus ditanya kepada warga Sabah dan Sarawak. Jangan main sedap mulut saja. Ketahuilah kewujudan MAS adalah perkhidmatan untuk rakyat, bukan bertujuan komersial 100 peratus.

Itu hanyalah satu daripada banyak isu yang membelenggu negara pada saat ini. Tidak seronok dibuatnya. Formula terlalu mudah. Bila tidak untung saja, penyelesaian pantas ialah jual. Kalau swasta yang ambil alih itu ada empati terhadap rakyat atau raykat, tidak mengapalah.

2 Tak bahagia

Apakah kemurungan yang dirasai ini terpampang pada fakta Laporan Kebahagian Dunia 2019 iaitu Malaysia di tangga ke-80 dalam senarai tersebut, menjunam 45 tangga setelah di kedudukan ke-35 tahun lalu.

Di Asia Tenggara, Malaysia di tangga keempat di belakang Singapura (34), Thailand (52) dan Filipina (69). Tahun lalu, Malaysia di tangga kedua.

Apa sudah jadi? Mengapa tak bahagia? Jawapan Merrepak ialah Malaysia hari ini sudah tiba ke tahap over-politicking. Serba-serbi hendak dipolitikkan. Rimas. Muak.

3 Seni Budaya

Tanyalah lagi, apa boleh kita lakukan untuk mengendurkan ketegangan ini? Merrepak ada saranan. Tumpukan kepada kesenian dan kebudayaan. Bila sebut kesenian, ia bukan terhad kepada filem, televisyen, YouTube, Netflix atau sebagainya. Merrepak maksudkan seni itu pada asas inti pati sebenarnya. Seni atas nama seni.

Sebuah kota yang kaya dengan kesenian dan kebudayaan, turut terpancar nilai peradabannya. Lihat Kyoto yang mengekalkan ciri tradisional Jepun.

Apakah Malaysia tiada ciri-ciri tradisional seumpamanya? Ketahuilah bahawa Malaysia mempunyai 965 tapak arkeologi dan 13 daripada diwartakan sebagai tapak warisan kebangsaan manakala lapan lagi diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Negara 2015.

Paling penting, Malaysia juga memiliki empat Tapak Warisan Dunia iaitu Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak, Taman Kinabalu di Sabah, Lembah Lenggong Perak dan Bandar Bersejarah Melaka dan George Town di Pulau Pinang.

Dua seni mendapat pengiktirafan UNESCO iaitu Tari Makyong Tradisional (2005) dan Dondang Sayang (2018). Malaysia juga telah mendaftarkan lima Manuskrip Melayu di bawah Senarai Memori Dunia Antarabangsa/ Asia Pasifik.

Perkara itu diketengahkan oleh kerajaan pada Sidang Kemuncak Kesenian dan Kebudayaan Dunia Kelapan anjuran bersama Persekutuan Antarabangsa Majlis-majlis Kesenian dan Agensi Kebudayaan (IFACCA) dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Kuala Lumpur, 14 Mac lalu.

4 Tahun Lawat Malaysia 2022

Menurut UNESCO, budaya menyumbang kepada pengurangan kemiskinan dan membuka jalan untuk pembangunan berpaksikan kemanusiaan, inklusif dan saksama. Tiada pembangunan yang boleh dikekalkan tanpa pembangunan budaya. Mementingkan budaya dalam dasar pembangunan merupakan pelaburan penting dalam masa depan dunia dan pra-syarat untuk proses globalisasi yang berjaya, mengambil kira prinsip kepelbagaian budaya.

Tahun hadapan, negara melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2020. Apa yang kita perlukan sekarang ialah kementerian yang ditugaskan untuk melestari dan memperkasa seni dan budaya. Ia boleh bekerjasama dengan kementerian lain untuk memastikan seni dan budaya adalah teras Agenda Nasional yang memacu semua aktiviti untuk meningkatkan jati diri.

5 Beradat

Hakisan budaya seperti bersopan santun baik semasa bersemuka atau dalam talian, begitu ketara. Lihat berapa banyak penunggang motosikal melanggar lampu merah. Lihat juga berapa ramai yang guna bahasa kesat di dalam Facebook, Twitter dan Instagram.

Mungkin, dengan berhenti sejenak dalam berpolitik dan memberi tumpuan kepada aspek seni dan budaya negara ini, rakyat boleh diperingatkan untuk kembali kepada nilai murni rakyat Malaysia yang cukup dikenali iaitu kaya adatnya, tinggi budi bahasanya dan tidak tertara intelektualnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/kita-terlampau-berpolitik-setuju-1.868296#ixzz5jEusJvcL 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Login to post comments
Template Settings

Color

For each color, the params below will give default values
Blue Brown Green Pink Violet
Layout Style
Select menu