1. PERMAINAN TRADISI

      Malaysia kaya dengan warisan kebudayaan yang sangat unik dan menarik. Warisan dalam budaya merangkumi makanan, adat dan permainan tradisi yang terhasil dari asimilasi pelbagai kaum masyarakat Malaysia. Permainan tradisi secara amnya terdiri daripada permainan anjung dan permainan laman. Permainan anjung termasuklah batu seremban, congkak, tutup botol, dam aji dan lain-lain. Manakala permainan laman pula seperti galah panjang, ketinting, gasing, baling selipar, konda kondi, rebut negeri dan lain-lain.

 

       Kebanyakan permainan dimainkan secara berkumpulan, ini mewujudkan interaksi sosial serta merapatkan hubungan di antara ahli masyarakat. Pada suatu masa dahulu aktiviti permainan merupakan suatu aktiviti senggang yang dijalankan dengan meriah seakan-akan pesta keramaian. Penduduk kampung tanpa mengira usia akan turun beramai-ramai sama ada untuk menyertai pertandingan atau sebagai penyokong dalam suasana pertandingan yang sihat. Permainan-permainan dahulu juga kebanyakannya banyak memberi manfaat kepada individu dan masyarakat. Selain membina kemahiran sosial, juga memberi faedah fizikal dan mental. Permainan strategi seperti dam aji dan congkak, akan merangsang minda seseorang berfikir secara kritis dan membantu mempertingkatkan kemahiran mengira dan sentiasa fokus dalam sesuatu tugas.

   

       Pada era gajet dan teknologi hari ini, permainan tradisional yang dikenali sebagai sukan rakyat semakin kurang mendapat perhatian di kalangan masyarakat. Generasi baru hari ini tidak dapat menikmati keseronokan berlari-lari di padang yang luas dan mengeluarkan peluh. Kekangan ruang permainan mahupun kebimbangan terhadap jenayah sosial menyebabkan kanak-kanak kini tidak bebas untuk bermain seperti generasi sebelum ini.

 

Senarai Permainan Tradisional yang telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan;

BIL

BUTIRAN

TAHUN ISYTIHAR

1.     

Congkak

2009

2.     

Gasing

2009

3.

Wau Tradisi Malaysia

2009

4.

Dam

2012

5.

Galah Panjang

2012

6.

Katuk Keli

2012

7.

Ketinting

2012

8.

Kuit

2012

9.

Laga Ayam

2012

10.

Sepak Raga

2012

11.

Seremban

2012

12.

Tating Lawi

2012

13.

Cari Cucu

2015

14.

Lastik

2015

15.

Lumba Kerbau

2015

16.

Menyumpit

2015

17.

Rampanau / Kaki Hantu

2015

18.

Selotop / Pistol Buluh

2015

19.

Tarik Upih

2015

 

Congkak

 

Congkak adalah sejenis permainan anjung atau permainan dalam rumah yang menggunakan kayu bujur berlubang atau lubang di atas tanah. Buahnya terdiri daripada biji asam jawa, biji saga, biji salak, kulit kerang, biji getah ataupun batuan kecil. Permainan ini dipercayai dibawa masuk oleh pedagang-pedagang Melayu Polinesia pada abad ke-15. Papan congkak diperbuat daripada batang kayu yang direka berbentuk sebuah perahu nelayan dengan lubangnya ditebuk di atas permukaan papan tersebut. pada hari ini, buah congkak telah digantikan dengan guli kerana lebih mudah didapati dan dimainkan. Permainan ini dapat menajamkan kemahiran dalam matematik serta melatih minda untuk membuat keputusan atau strategi dengan pantas.

 

Gasing

Permainan gasing amat popular di Semenanjung Malaysia terutama di negeri Terengganu dan Kelantan serta Melaka. Terdapat banyak jenis gasing yang terdapat di Malaysia antaranya gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang. Orang dewasa dan kanak-kanak boleh bermain gasing mengikut saiz gasing yang bersesuaian.

Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing.

 

Wau Tradisi Malaysia

 

 

Wau adalah satu permainan masa lapang rakyat yang mempunyai ciri-ciri keseniannya tersendiri. Bagi masyarakat nelayan pula wau dimainkan sebagai persediaan ke laut, untuk mengetahui sama ada  cuaca baik atau tidak. Hal yang sama dilakukan oleh para petani untuk membuat persediaan menghadapi musim bendang seterusnya.

Mengikut sejarah Melayu, wau bermula di Melaka oleh Putera Raja keturunan Sultan Melaka. Terdapat tiga jenis wau yang terkenal iaitu Wau Bulan, Wau Kucing dan Wau Jalabudi. Wau diperbuat daripada buluh yang diraut untuk dijadikan rangka, tulang belakang, sayap dan ekor wau. Kertas warna pula ditampal pada rangka wau untuk menentukan kecantikannya. Kertas warna boleh dilukis motif-motif dengan warna pilihan yang sesuai. Ketiga-tiga wau ini mempunyai estetika jenis sobekan yang bermotifkan sulur bayur, awan larat, pucuk rebung, geometri, flora fauna dan sebagainya

Selain itu kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi “wau’, “wau’, “wau’ secara berirama.

 

Dam

 

 

Permainan ini dimainkan oleh dua orang secara duduk berhadapan dengan menggunakan peralatan seperti papan dam dan buah tir. Ia sering dimainkan oleh golongan lelaki semasa waktu senggang di kedai-kedai kopi. Permainan ini mengekalkan fungsi permainan dengan sistem peperangan dan pertahanan. Pemain perlu bijak mengatur langkah, agar usaha-usaha yang dirancang membuahkan hasil. Permainan ini sangat menguji minda dan akal supaya cekap dalam menyusun strategi.

 

 

Galah Panjang

 

 

Galah panjang adalah permainan tradisional yang dimainkan di atas gelanggang yang dilakar di atas tanah dan melibatkan dua pasukan lawan (Kumpulan penyerang dan penghadang) yang ditentukan melalui balingan syiling. Ia merupakan adaptasi daripada sistem pertahanan negara, iaitu menyusup ke dalam dan berpatah balik, serta memerlukan kemahiran strategi dan kepantasan. Setiap kumpulan sekurang-kurangnya mempunyai 4 pemain. Gelanggang yang dibuat mengandungi dua (2) lajur dan beberapa baris bergantung kepada bilangan pemain. Ketika bermain, pasukan penyerang perlu sentiasa berada di dalam garisan dan cuba menyusup ke kotak seterusnya tanpa disentuh atau tertangkap oleh pasukan penghadang. Pergerakan dan serangan setiap ahli akan ditentukan oleh kecekapan perancangan strategi ketua pasukan. Ketua pasukan penghadang akan mengawal garisan tengah, manakala ahli-ahli lain menjaga garisan melintang dan menghalang pasukan penyerang daripada melepasi mereka. Sekiranya ada ahli pasukan penyerang yang tersentuh, peranan kedua-dua pasukan akan bertukar.

ANTARA PERMAINAN TRADISI YANG TELAH DIANGKAT DI DALAM PENGISYTIHARAN WARISAN KEBANGSAAN

Jenis                          :          Permainan Laman

Objek Warisan         : RAMPANAU

Sukan Rampanau merupakan salah satu Sukan Rakyat yang popular dikalangan masyarakat Dusun terutama di Daerah Tambunan, Keningau, Ranau dan beberapa lagi daerah di Sabah. Sukan Rampanau atau berjalan dengan menggunakan cangkungan juga merupakan kaedah untuk menyeberang sungai atau parit atau berjalan pada kawasan yang becak pada zaman dahulu

 

Jenis                          :          Permainan Laman

Objek Warisan         :          CARI CUCU

Permainan Mencari Cucu merupakan permainan laman. Di dalam permainan ini terdapat dua buah lagu khas yang didendangkan. Sehelai sapu tangan atau kain untuk menutup mata dan sebatang kayu tongkat diperlukan sebagai alat. Sebelum permainan dimulakan salah seorang dari mereka haruslah menjadi ‘nenek’. Bagi menentukan ‘nenek’, maka undian perlu dijalankan. Siapa dikalangan mereka yang kalah dalam undian tersebut maka akan ditutup matanya dengan sapu tangan atau kain untuk dijadikan ‘nenek’. Sebatang tongkat diberikan untuk dipegang dan berperlakuan seperti nenek tua yang buta. Kesemua pemain membuat satu bulatan mengelilingi nenek dengan berpegangan tangan di antara satu sama lain. Sebuah dendangan dinyanyikan oleh cucu secara beramai-ramai.

 

Jenis                          :          Permainan Laman

Objek Warisan         :          TARIK UPIH

Tarik Upih merupakan satu permainan laman. Upih pinang adalah pelepah atau pangkal daun pokok Pinang. Lazimnya apabila pelepah ini tua, ia akan luruh atau jatuh ke tanah. Daun pinang dari pelepah itu akan dibuang dan dijadikan hulu atau tempat untuk menarik upih tersebut. Permainan tarik upih ini dimainkan oleh dua orang atau lebih bergantung kepada saiz upih. Salah seorang akan menjadi tukang tarik dan seorang lagi duduk di atas upih. Permainan tarik upih ini boleh dipertandingkan. Kebiasaannya, yang lebih tua atau besar akan menjadi penarik, sementara yang kecil menjadi penunggangnya.

Langgan Berita

Dapatkan Berita Terkini Percuma!

  • Berita Terkini
  • Acara Terkini
Template Settings

Color

For each color, the params below will give default values
Blue Brown Green Pink Violet
Layout Style
Select menu