Welcome to Jabatan Warisan Negara   Click to listen highlighted text! Welcome to Jabatan Warisan Negara Powered By GSpeech
All for Joomla All for Webmasters

Tiga tapak baharu dicalon Tapak Warisan Dunia Unesco

Tiga tapak baharu dicalon Tapak Warisan Dunia Unesco

10 Jul 2017 0 comment  

 

9 JULAI 2017

   

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB

LENGGONG - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah menghantar tiga dokumen ‘Tentative List’ sebelum penghantaran dosir (dokumen berkaitan) lengkap untuk pengiktirafan tiga tapak baharu sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, dokumen Tentative List itu membabitkan Royal Belum (Gerik), Permatang Kuarza di Gombak, Selangor dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim), Kepong.

“Pada masa ini, Jabatan Warisan Negara sedang berusaha menyiapkan dosir pencalonan bagi tapak berkenaan dengan kerjasama pelbagai pihak bagi memenuhi kriteria dan kehendak Unesco,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Ab Ghaafar A Tambi pada majlis perasmian Karnival Lenggong 2017 sempena sambutan ulang tahun ke-5 Pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai tapak warisan dunia UNESCO di Dataran Lenggong di sini malam tadi.

Tapak Warisan Lembah Lenggong yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Uneco pada 30 Jun 2012 merupakan bukti kewujudan aktiviti masyarakat prasejarah yang tertua di dunia dan di situ terjumpanya rangka manusia prasejarah iaitu Perak Man.

Menurut Mohamed Nazri, selain itu kementerian juga sentiasa berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan bagi kategori warisan termasuk dokumentari dan manuskrip.

“Kitab ‘Tib Ilmu Bedil’ telah berjaya diperoleh pada tahun 2016 di bawah Memory of the World Asia Pacific (MOWCAP). Ini merupakan pengiktirafan pertama di bawah badan tersebut yang berpusat di Korea Selatan,” katanya.

Mohamed Nazri berkata, Jabatan Warisan Negara juga telah menghantar tiga pencalonan untuk warisan kebudayaan tidak ketara bagi pengiktirafan di bawah Convention for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage 2003.

Katanya warisan tersebut ialah Upacara Wangkang di bawah kategori Urgent Need for Safeguarding, Dondang Sayang di bawah Representative List dan Pantun secara Multi-National File bersama Indonesia.

“Pencalonan ketiga-tiga warisan berkenaan telah dihantar pada 31 Mac 2017 dan keputusan sama ada berjaya atau tidak bakal diketahui pada November tahun 2018,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamed Nazri berkata semua pihak perlu memainkan peranan untuk bekerjasama dalam memelihara khazanah warisan negara termasuk Lenggong.

Beliau berkata, ini boleh dilakukan melalui pelbagai bentuk termasuk memaklumkan kepada Jabatan Warisan Negara sekiranya terdapat sebarang jumpaan yang dipercayai mempunyai kepentingan dari segi sejarah, kebudayaan dan lain-lain.

“Sekiranya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab cuba merosakkan bahan-bahan Warisan Negara hendaklah melaporkan kepada Jabatan Warisan Negara,” katanya. - Bernama

Login to post comments
Template Settings

Color

For each color, the params below will give default values
Blue Brown Green Pink Violet
Click to listen highlighted text! Powered By GSpeech